Ancaman bunuh bayangi pertarungan

NEW YORK, 17 Mei – Deontay Wilder mempertaruhkan mahkota heavyweight WBC menentang Dominic Breazeale hujung minggu ini, tidak peduli dengan kritikan yang diterima selepas ikrarnya untuk menyebabkan kematian di atas gelanggang.

Meskipun dengan standard ganas tinju, di mana ancaman ganas adalah kebiasaan dalam perbalahan mulut, namun komen sebelum pertarungan Wilder telah dikecam teruk dalam sukan itu kerana ia melampau.

“Nyawanya jadi pertaruhan dalam pertarungan ini dan saya benar-benar maksudkan nyawanya,” kata Wilder minggu ini ketika dia membuat persiapan bagi pertarungan di Barclays Center, Brooklyn.

“Dominic Breazeale yang memintanya. Ini adalah sukan di mana anda boleh membunuh seseorang dan dibayar juga pada masa yang sama. Ia adalah sah. Jadi kenapa tidak menggunakan hak saya untuk melakukannya, jika dia mati, dia mati.”

Memang tidak dinafikan terdapatnya dendam antara Wilder (40-0-1, 39 knockout) and Breazeale (20-1, 18 knockout), yang boleh dilihat semula pada konfrontasi antara kedua-dua petinju itu di awal 2017.

Wilder mendakwa Breazeale membuat kenyataan ancaman kepada adiknya di sebuah hotel di Birmingham. Wilder yang marah menjejaki Breazeale, sehingga membawa kepada perkelahian antara kedua-dua pengikut.

“Saya hanya meletakkan tangan saya di mukanya dan memberitahunya, ‘Jangan sesekali datang ke bandar saya dan mengancam keluarga saya. Jangan sesekali melakukannya,” kata Wilder, yang berulang kali berjanji untuk memberikan pukulan teruk ke atas Breazeale.

“Jika ia terjadi, saya tidak akan meminta maaf,” katanya kepada wartawan. – AFP

Deontay Wilder mempertaruhkan mahkota heavyweight WBC menentang Dominic Breazeale hujung minggu ini. – AFP