Wednesday, March 19, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ancaman ledakan gunung berapi Vanuatu sudah stabil

    WELLINGTON, 3 Okt – Gunung berapi Vanuatu yang mencetuskan pemindahan seluruh pulau nampaknya sudah stabil, kata ahli sains hari ini, walaupun pekerja bantuan berkata masih terlalu awal untuk penduduk kampung pulang.

    Kesemua 11,000 penduduk yang tinggal di Ambae, di utara gugusan kepulauan Pasifik, diarah supaya berpindah selepas gunung berapi Manaro Voui berderam-derum dan menghujani batu dan abu di kampung pada minggu lalu.

    Bimbang satu letusan besar akan berlaku, pegawai menghantar armada kapal awam untuk membawa penduduk ke tempat selamat di pulau lain dalam apa yang digambarkan sebagai operasi gaya “Dunkirk.”

    Balai Cerap Georisiko Vanuatu berkata ancaman telah berkurangan, walaupun ia mengekalkan status gunung berapi pada tahap keempat, pengkadaran kedua tertinggi. Ia berkata kebanyakan pengawasan terbaru daripada jejambat stesen seismik menandakan aktiviti seismik kini terbatas di sebuah tasek di kawah gunung berapi.

    “Memandangkan aktiviti kini lebih tenang dan hanya bertumpu pada pulau baru di Tasek Voui, kemungkinan berlakunya letusan besar yang menjejas seluruh pulau kini semakin berkurangan,” katanya.

    Jurucakap Palang Merah, Joe Cropp berkata laporan aktiviti seismik yang berkurangan adalah “menenangkan” namun masih terdapat beribu-ribu orang dalam pusat kecemasan.

    Penduduk tempatan hanya boleh pulang ke Ambae apabila kerajaan mengurangkan taraf ancaman kepada tahap tiga, yang mungkin mengambil masa beberapa bulan, kata beliau.

    “Kami masih berpegang pada pelan asal untuk memberikan sokongan kepada penduduk untuk dua minggu akan datang, seterusnya tidak sabar-sabar untuk menghadapi masa depan yang tidak pasti,” beritahu Cropp kepada AFP dari ibu negara Port Vila.

    “Kami perlu merancang dan bersedia kerana kami tidak pasti haluan yang diambil oleh gunung berapi.”

    Beliau berkata kebanyakan penduduk Ambae telah pun dipindahkan ke tiga pulau berhampiran, di mana mereka sedang berlindung di sekolah, gereja dan pusat sukan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda