Tuesday, August 16, 2022
27.1 C
Brunei

Ancaman pneumonia selepas pesakit COVID-19 sembuh

-

KUALA LUMPUR – Pesakit COVID-19 yang jangkitannya berlarutan hingga kepada kategori tiga, empat dan lima boleh mendapat apa yang dipanggil COVID-19 pneumonia atau radang paru-paru COVID-19.

Menurut Pakar Perunding Perubatan dan Paru-Paru Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa (gambar-Bernama), COVID-19 pneumonia mula menyerang pesakit COVID-19 apabila mencapai kategori tiga dan ini dapat dilihat apabila terdapat tompok putih di bahagian paru-paru semasa ujian x-ray.     

“Kes ini antara yang kerap berlaku dalam kalangan pesakit COVID-19 kategori tiga, empat dan lima. Kategori satu dan dua kebiasaannya tidak ada pneumonia lagi.

“Bagi pesakit COVID-19 kategori satu dan dua, virus penyakit itu, SARS-CoV-2 hanya menjangkiti bahagian hidung, tekak dan saluran pernafasan atas. Untuk pesakit kategori ketiga dan seterusnya, jangkitan COVID-19 sudah mula sampai kepada paru-parunya yang menyebabkan tompokan putih serta keradangan paru-paru,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Organizing Pneumonia

Selain COVID-19 pneumonia, bekas pesakit COVID-19 ini juga boleh mendapat penyakit baharu yang digelar Organizing Pneumonia.

Dr Nurul Yaqeen berkata, Organizing Pneumonia berlaku apabila paru-paru pesakit berparut setelah sembuh daripada COVID-19.

“Organizing bermaksud parut iaitu parut yang disebabkan dari keradangan yang telah sembuh. Umpamanya seseorang itu mengalami luka di kulit, walaupun sudah sembuh parutnya tetap ada. Jadi parut di paru-paru itu yang kita panggil Organizing Pneumonia,” jelasnya.

Menurut beliau, pesakit COVID-19 yang datang ke hospital terutama mereka yang kategori tiga, empat dan lima, virus SARS-CoV-2 sudah menyerang tisu paru-paru seterusnya menyebabkan keradangan.

“Keradangan ini juga dipanggil kecederaan paru-paru. Kebiasaannya, setelah pesakit sembuh, keradangan atau kecederaan itu akan sembuh. Bagaimanapun, bila sembuh, ia akan meninggalkan parut.

“Untuk pesakit COVID-19, biarpun telah sembuh, ada kemungkinan mereka mempunyai parut di paru-paru. Ini menyebabkan berlaku beberapa gejala seperti susah bernafas dan batuk berpanjangan,” katanya, sambil menambah kebanyakan pesakit yang beliau temui adalah pesakit COVID-19 yang sudah discaj dari hospital.

Organizing Pneumonia, kata beliau, boleh juga berlaku kepada pesakit lain yang bukan dijangkiti COVID-19, namun begitu bekas pesakit COVID-19 lebih berisiko untuk menghidap Organizing Pneumonia.    

Di samping jangkitan COVID-19, paru-paru berparut juga berlaku akibat individu atau pesakit terdedah kepada habuk dan debu secara berpanjangan atau terdedah kepada jangkitan kulat. 
 
Ambil vaksin cegah pneumonia

Menurut Dr Nurul Yaqeen, sebelum negara dilanda wabak COVID-19, beliau amat menggalakkan pesakit berisiko untuk mengambil vaksin influenza dan pneumokokal berikutan kebanyakan penyakit penumonia disebabkan oleh bakteria pneumokokal dan virus influenza.   

“Kita akan cadang dan nasihatkan untuk memberi vaksin influenza dan pneumokokal kepada pesakit yang kita rasakan berisiko untuk mendapatkan pneumonia ini. Untuk vaksin influenza kita cadangkan pesakit berisiko mengambilnya setiap tahun sebab virus influenza ini boleh bermutasi.

Virus ini boleh mengubah struktur genetik, setiap tahun, struktur genetik bertukar, sebab itu pesakit perlu ambil vaksin influenza setiap tahun,” katanya. – Bernama

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Iran nafi terbabit serangan Salman Rushdie

TEHRAN, 15 OGOS – Pegawai kerajaan Iran hari ini menafikan Tehran terbabit dalam serangan yang mencederakan penulis kontroversi, Salman Rushdie di Amerika Syarikat (AS)...

China lancar latihan baharu

- Advertisment -