TOKYO, 18 Jan – Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull hari ini berkata beliau menyambut baik dialog baru-baru ini antara Korea Utara dan Korea Selatan tetapi perarakan bersama di Sukan Olimpik Musim Sejuk tidak akan menghentikan ancaman senjata nuklear di Semenanjung Korea.
Turnbull, yang melawat Jepun untuk berunding dengan Perdana Menteri Shinzo Abe tentang keselamatan serantau, perdagangan dan isu-isu lain, mengingatkan terhadap sikap optimistik.
“Kita perlu jelas tentang perkara ini,” katanya kepada wartawan. “Sejarah mengajarkan kita pelajaran yang sangat pahit tentang Korea Utara. Mereka mempunyai tabiat lama untuk mengukuhkan ketenteraan mereka dan kemudian berhenti seketika dalam cubaan untuk memujuk bahawa mereka sedang menukar haluan mereka, tidak ada yang berubah dan kemudian menguatkan lagi.”
Korea Utara dan Korea Selatan telah mengadakan rundingan luar biasa di kampung sempadan minggu ini yang mana mereka bersetuju membentuk pasukan Olimpik bersatu pertama mereka dan para atlet akan berbaris bersama-sama ketika upacara pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk bulan depan di Korea Selatan. Mereka akan menyampaikan rancangan itu kepada Jawatankuasa Sukan Olimpik Antarabangsa hujung minggu ini di Switzerland.
Turnbull berkata tekanan dan sekatan terhadap Korea Utara ke atas program nuklearnya hendaklah diteruskan.
Jepun dan Australia telah meningkatkan kerjasama pertahanan mereka di tengah-tengah ketegangan berhubung kemajuan persenjataan nuklear dan peluru berpandu Korea Utara serta perluasan kuasa China di Pasifik.
Turnbull berkata sedemikian ketika beliau dan Abe melawat kem latihan tentera Jepun berdekatan Tokyo, yang mana mereka melihat pemintas peluru berpandu PAC-3 dan masuk ke dalam sebuah kenderaan berperisai Bushmaster buatan Australia dan digunakan oleh tentera Jepun pada tahun 2014. – AP