DERNA, LIBYA, 18 SEPT – Agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran hari ini bahawa bandar Derna, Libya yang telah dibanjiri hingga mengorbankan ribuan orang seminggu yang lalu, kini berdepan ancaman wabak penyakit yang boleh membawa ‘krisis kedua yang dahsyat’.
Pegawai tempatan, agensi bantuan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia “bimbang tentang risiko wabak penyakit, terutamanya daripada air yang tercemar dan kekurangan sanitasi,” kata PBB.
Banjir kilat yang telah meragut hampir 3,300 nyawa dan menyebabkan ribuan lagi hilang itu berlaku ketika negara Afrika Utara yang dilanda perang itu dibadai ribut Daniel pada 10 September.
Puluhan ribu penduduk yang trauma kini kehilangan tempat tinggal dan sangat memerlukan air bersih, makanan dan bekalan asas di tengah-tengah peningkatan risiko taun, cirit-birit, dehidrasi dan kekurangan zat makanan, di mana agensi PBB telah memberi amaran.
Ketika pasukan penyelamat dari beberapa negara Eropah dan Arab meneruskan usaha mencari mayat di tanah lapang berlumpur dengan bangunan yang hancur, kereta remuk dan pokok tumbang, mangsa terselamat Derna menceritakan kengerian peristiwa itu.
“Saya tidak mengambil apa-apa kecuali cermin mata dan telefon saya dan melarikan diri ketika air menggegarkan pintu besi seperti gempa bumi,” Abdel Moneim Awad al-Sheikh, 73, yang dikejutkan pada waktu subuh oleh bunyi jeritan dan air deras.
Dia melarikan diri bersama isterinya dengan memanjat dari apartmen tingkat satu ke bumbung bangunan bersama ahli keluarga yang lain. – AFP
