ANCM ke-13 bincang ancaman sekuriti maritim

SIEM REAP, 29 NOV – Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei, Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Haji Othman bin Haji Suhaili @ Suhaily menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Tentera Laut ASEAN (ANCM) ke-13 di wilayah Siem Reap, Kemboja baru-baru ini.

Mesyuarat anjuran Tentera Laut Diraja Kemboja berlangsung di Sokha Angkor Resort itu turut dihadiri pemerintah-pemerintah tentera laut ASEAN dari Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

ANCM merupakan landasan bagi pemerintah-pemerintah tentera laut ASEAN berkumpul, berinteraksi untuk mengukuhkan dan meningkatkan persahabatan pertahanan.
Ia dibuka rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Nasional Pertahanan Kemboja, Jeneral Samdech Pichey Sena Tea Banh yang turut menyampaikan ucaptama.

Mesyuarat menyentuh mengenai beberapa idea dan inisiatif mengekalkan persahabatan strategik pelbagai hala dan dua hala, pelaksanaan beberapa aktiviti meningkatkan kerjasama praktikal dan keyakinan di pelbagai peringkat.

Turut dibincangkan ialah inisiatif-inisiatif dan mesyuarat-mesyuarat pada masa hadapan dan juga ancaman-ancaman sekuriti maritim seperti jenayah transnasional, keganasan (terrorism), dan bencana alam, sejajar dengan tema Mesyuarat ANCM ke-13, ‘Memperluasakan Kerjasama bagi Kemapanan Keselamatan di Lautan.’

Pemerintah TLDB bersama pemerintah tentera laut ASEAN lain turut mengadakan kunjungan hormat kepada Jeneral Samdech Tea Banh. Beliau juga membuat kunjungan muhibah kepada Timbalan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Kemboja selaku Pemerintah Tentera Laut Diraja Kemboja dan Setiausaha Agung National Committee for Maritime Security (NCMS), Laksamana Tea Vin selain mengadakan perjumpaan dua hala dengan pemimpin Tentera Laut Thailand dan Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Laut (TNI-AL).

ANCM diselenggarakan untuk membincangkan cabaran-cabaran dihadapi dan menggubal penyelesaian bagi menangani cabaran-cabaran tersebut. Mesyuarat ANCM ke-14 akan berlangsung pada tahun 2020 anjuran Tentera Laut Vietnam.

Gambar ramai pemerintah TLDB bersama para pemerintah tentera laut dari negara ASEAN pada mesyuarat ANCM ke-13 di Siem Reap, Kemboja. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan