Andi akur tidak balik kampung

Seperti selalu, Syawal cukup dinantikan penyanyi, Andi Bernadee (gambar atas) atas beberapa sebab. Namun, tibanya bulan kemenangan kali ini, segala-galanya berubah.

Sayu hati Andi atau nama sebenar, Andi Azrul Andi Mapangile apabila tidak dapat pulang ke kampung halaman di Kota Kinabalu, Sabah, berikutan terpaksa akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Saya pernah terlepas penerbangan ke Sabah disebabkan tertidur di lapa-ngan terbang.

“Namun, saya tetap pulang pada keesokannya. Kali ini berbeza… Saya tidak tahu bila boleh pulang menyambut raya bersama keluarga.

“Jadi, tahun ini, saya beraya sendirian di ibu kota.

“Sedih tetapi saya tidak boleh terbawa-bawa perasaan itu. Bukan saya sahaja, ramai lagi menimpa nasib sama,” katanya kepada media.

Namun, Andi akur larangan rentas negeri dibuat untuk kebaikan semua.

“Apabila difikirkan kesihatan dan keselamatan orang tua, saya rasa tidak mengapalah saya tidak pulang,” katanya.

Andi berkata, dia sering membuat panggilan video bersama keluarga di Sabah bagi mengubat rindu.

“Apabila saban hari menghubungi mereka, tidaklah terasa berjauhan. Syukur orang tua saya pun baik-baik dan mereka faham situasi ini,” katanya.

Berikutan beraya sendirian, dia tidak banyak membuat persiapan. Malah, juadah raya tidak difikirkannya.

“Saya tinggal berseorangan, jadi kalau hendak masak pun, tak sedap makan seorang. Lebih baik beli sahaja kalau hendak makan.

“Lagipun, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya keluar rumah apabila perlu saja.

“Malah, kalau hendak apa-apa, saya minta ‘runner’ belikan. Saya takutlah hendak keluar. Kalau boleh, saya elak keluar rumah,” katanya.

Bagi menghilangkan kebosanan di rumah, Andi banyak merakamkan video dan berkongsi di laman sosial. Keletahnya mencuit hati orang ramai, apatah lagi perkongsian dibuat untuk menggembirakan pengikutnya.

“Kalau penyanyi lain, mereka akan menyanyi. Saya cuba tampil berbeza dengan memuat naik video pelbagai aksi sepanjang PKP.

“Tidaklah orang tengok asyik menyanyi saja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Andi merancang melancarkan album sulung selepas Aidilfitri. Walau bagaimanapun, projek itu terpaksa ditunda kerana tiga lagu masih belum dirakam.

“Mungkin saya tunda sehingga tahun depan. Setakat ini, saya sudah rakam empat lagu,” katanya. – Agensi