Andi Bernadee kena songlap RM70,000

Penyanyi dan pelakon, Andi Bernadee, 29, membuat laporan polis terhadap seorang individu didakwa melakukan pecah amanah dan ‘songlap’ wang miliknya sebanyak RM70,000.

Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, jam 10:30 pagi, kelmarin.

Andi berkata, wang itu adalah hasil pendapatan daripada dua projek membabitkan pelanggan besar untuk tahun ini.

Andi berkata, kejadian itu menyebabkan pendapatannya terjejas teruk.

Lebih menyedihkan, individu yang paling dipercayainya itu turut memburukkan namanya dalam kalangan penggiat industri hiburan.

Andi Bernadee membuat laporan polis setelah wang miliknya sebanyak

Laporan itu juga dibuat untuk memberi amaran kepada rakan dalam bidang lain supaya tidak menjadi mangsa individu itu.

“Ini adalah pecah amanah dilakukan orang dalam industri hiburan yang saya percaya. Saya memang tak sangka sebab dia mengganggu periuk nasi saya dan memfitnah saya kepada produksi lain.

“Dia juga memanipulasi perbualan WhatsApp saya dan hantar kepada pelanggan dan mereka percaya serta memindahkan wang ke akaun peribadinya,” katanya.

Penyanyi lagu Satu Peluang itu mengakui dia sudah merasa ada yang tidak betul sejak Jun lalu selepas pendapatannya untuk projek dijayakan sejak awal tahun belum diperolehnya.

“Dia memberi pelbagai alasan termasuk pelanggan belum bayar lagi sedangkan mereka sudah berbuat demikian. Rupa-rupanya dia yang ‘makan’ duit itu,” katanya.

Andi juga sudah bersemuka dengan individu itu beberapa minggu lalu bagi mendapatkan penjelasan.

Andi berkata, perkara itu bukan saja menjejaskan periuk nasinya tetapi turut memberi kesan kepada emosinya. – Agensi