Thursday, February 20, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aneka Hidangan Murtabak

    BOSAN terhadap menu murtabak atau roti yang selalunya kosong atau bertelur dan disajikan bersama dengan kuah kari dan dalca.

    Ternyata menu murtabak itu juga boleh divariasikan dan ia tidak semestinya diperbuat daripada tepung.

    Sekiranya, anda menginginkan sesuatu kelainan apa kata anda cuba resipi mudah dan sedap yang dikongsikan ini.

    Selamat mencuba!

    Murtabak Tuna Keju

    Bahan-bahan:

    1 tin tuna

    1 biji telur

    2 biji bawang besar yang dipotong halus

    10 gram keju tabur

    1 keping roti paratha

    Cara membuat:

    Ambil isi tuna dan hancurkan. Kemudian, campurkan tuna dengan telur, bawang besar dan keju tabur. Gaul sebati. Masukkan bahan yang digaul tadi di atas roti paratha dan lipat untuk membentuk seperti murtabak. Goreng murtabak sehingga kekuningan dan ia sedia untuk dihidangkan.

    Murtabak Mi Segera

    Bahan-bahan:

    4 paket mi segera yang direbus mee sahaja

    1 biji bawang merah

    1 ulas bawang putih

    5 biji telur

    1 batang lobak merah

    Isi ayam dan bebola ayam secukupnya

    3 sudu besar tepung jagung

    4 paket serbuk perisa mi segera

    Sedikit daun sup dan bawang

    *Paket serbuk mi segera jangan dibuang kerana ia boleh diguna sebagai bahan perisa.

    Cara memasak:

    Bersihkan isi ayam serta bebola ayam dan potong semua menjadi ketulan kecil. Kupas semua bawang dan diracik halus Kemudian bersihkan lobak merah dan dipotong kecil-kecil. Bersihkan daun bawang dan sup serta diracik halus juga. Rebus mi segera sehingga kembang dan tos kemudian ketepikan dulu. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bawang sehingga menjadi layu dan Wangi. Kemudian terus masukkan isi ayam dan kacau. Masukkan bebola ayam, lobak merah, daun sup, bawang dan kacau semua bahan sehingga isi ayam masak. Masukkan sepaket serbuk perisa mi segera dan kacau. Masukkan semua mi segera, tepung jagung kemudian masukkan telur sebiji demi sebiji dan kacau semua bahan-bahan ini. Masukkan serbuk perisa mi segera secukupnya dan rasa jika kurang masin boleh ditambah lagi serbuk perisa mi segera itu atau bahan-bahan lain kemudian kacau semua bahan supaya menjadi mesra dan rata. Fungsi tepung jagung adalah supaya adunan mi dan bahan-bahan lain melekat. Panaskan kuali penggoreng dengan sedikit minyak dan goreng murtabak mi segera ini sehingga masak. Angkat dan tos, murtabak mi segera sedia dihidangkan.

    Murtabak Aiskrim

    Bahan-bahan:

    1 keping roti paratha

    5 sudu besar susu pekat

    Bijan

    Kacang

    5 sudu madu

    1 sudu aiskrim vanilla

    Daun pudina

    Cara membuat:

    Bakar roti paratha sehingga masak dan garing. Biarkan seketika. Kemudian, ambil roti paratha, letak susu pekat, bijan dan kacang. Ambil sesudu aiskrim vanilla dan tuang madu serta letakkan daun pudina sebagai hiasan menarik ketika dihidangkan. Setentunya ia menjadi satu hidangan yang sangat menyegarkan di musim panas.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda