Oleh Nurdiyanah R.
Setiap menjelang bulan Ramadan, bazar atau gerai Ramadan merupakan destinasi tumpuan orang ramai untuk membeli pelbagai juadah daripada minuman, lauk-pauk mahupun kuih-muih untuk berbuka puasa.
Suara riuh-rendah pasti kedengaran di bibir-bibir mulut para peniaga mempromosikan pelbagai jualan mereka yang mewarnai suasana kemeriahan setiap gerai Ramadan di mana-mana pun lokasinya.
Walaupun menjalani ibadah kewajipan berpuasa di bulan suci ini, namun jiwa dan raga mereka tetap bersemangat untuk meraih sumber rezeki di gerai Ramadan meskipun cuaca yang kadang-kala agak panas dan juga hujan membasahi bumi tanah air ini.
Salah satu lokasi gerai Ramadan yang tidak asing lagi dan wajib dikunjungi di Daerah Tutong ialah di kawasan lapang berhadapan dengan Hospital Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Pekan Tutong.
Gerai Ramadan berkenaan merangkumi kira-kira 60 petak gerai jualan dengan menerapkan langkah-langkah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan peniaga dan pengunjung, termasuklah penjarakan lokasi antara petak jualan dan mengimbas kod BruHealth dan memeriksa suhu badan di pintu-pintu masuk gerai serta mengehadkan kemasukan pengunjung ke dalam kawasan gerai.
Justeru itu, wartawan Media Permata berpeluang untuk singgah seketika bagi menerokai beberapa sentuhan variasi juadah yang bukan sahaja bagi para pengunjung untuk bersungkai malah mereka yang bukan beragama Islam turut sama-sama memeriahkan suasana gerai Ramadan berkenaan.
Variasi percik menambat citarasa
Sebut sahaja masakan percik pasti para penggemarnya terbayang hidangan yang dibakar atas pemanggang dengan kuah atau sambal istimewa yang dipercikkan pada permukaan hidangan yang dimasak itu.
Begitulah juga istimewanya sentuhan masakan percik yang diketengahkan oleh salah seorang peniaga gerai Ramadan Daerah Tutong, yang bukan hanya menampilkan satu jenis masakan percik bahkan bermacam-macam jenis di bawah nama ‘Ikan Percik’.
Terdiri daripada ikan putih, ikan merah, ikan salman, ikan duai, ikan pari dan ikan pila-pila semuanya diadun dengan percikan kuah yang dilakukan sepanjang proses membakar.
Pastinya rempah-rempah hasil resipi istimewa itu meresap sehingga membe-rikan rasa yang enak bersama aroma asap salai dalam pelbagai jenis ikan itu.
Namun udang percik dan sotong percik juga menjadi antara tarikan selera bagi juadah bersungkai.
Setelah itu, penulis beredar lagi dalam beberapa jarak petak gerai jualan, aroma asap salai membawa rasa yang enak menarik jiwa untuk menyaksikannya lebih dekat, masakan ayam percik berkonsepkan rasa asam dan pedas yang diketengahkan oleh salah seorang peniaga berusia lingkungan 40an.
Sambil mengibar salaiannya, insan ini tidak kedekut berkongsi ilmu bersama para pengunjung yang datang bahawa ayam yang telah diperap dengan adunan rempah-rempah istimewa itu akan dikukus selama 30 minit agar tekstur isi ayam menjadi lembut.
Kemudian sebelum dibakar di atas pemanggang dengan api sederhana dalam lebih kurang 10 minit hingga 15 minit, ayam yang telah dikukus disalutkan dengan kuah yang telah dimasak sebelumnya yang terdiri daripada bahan-bahan tertentu seperti kisaran bawang merah, bawang putih, halia, serai dan kisaran cili kering bersama jus asam jawa, gula dan garam.
Semasa proses pemanggangan itu, ayam dialas dengan daun pisang agar aroma asap salai semakin terasa apabila dinikmati bersama nasi putih.
Manakala percikan kuah yang dilakukan sepanjang proses membakar itu juga bertujuan agar rempah-rempah akan meresap dalam ayam sambil menanti masak secukupnya.
Ayam tajau
Segalanya serba tradisional, bermula dari segi penyediaan bahan dan proses memasaknya. Tidak hairanlah, aroma yang dikeluarkan dari tajau-tajau itu begitu menawan para pengunjung, lebih-lebih lagi dalam mencari juadah untuk bersungkai.
Begitulah istimewanya hidangan ayam tajau yang diketengahkan oleh salah sebuah keluarga yang telah berjaja di gerai Ramadan Tutong.
Bermula daripada ayam-ayam segar yang telah dibersihkan itu diolah dengan rempah-ratus tradisional dan dibiarkan semalaman agar perapan berkenaan cukup sebati sebelum dibakar di dalam tajau-tajau khas.
Langkah penulis terhenti seketika bagi menyaksikan kehebatan dan ketekunan mereka memanggang ayam-ayam dalam setiap tajau. Dalam tajau mengandungi haba arang untuk proses pembakaran, itulah keistimewaan masakan ayam membuatnya lain daripada yang lain, yang mana setiap sebiji tajau mampu menampung enam ekor ayam pada umumnya.
Meskipun memerlukan masa yang lama kira-kira hampir dua jam untuk mendapatkan masakan ayam yang mantap, dengan terbuangnya lemak-lemak ayam secara semula jadi, itulah yang menjadikannya begitu istimewa dan juga sihat untuk dinikmati seisi keluarga, lebih-lebih lagi dengan bercicah bersama sos kicap istimewa yang mereka sediakan.
Sebut apa sahaja jenis juadah,minuman mahupun kuih-muih yang diinginkan untuk berbuka puasa pasti akan dapat dijumpai di gerai berkenaan. Namun, dalam keseronokan membeli juadah berbuka puasa jangan pula kita sampai leka sehingga berlakunya pembaziran.