Oleh Lenna N.B.
MAKANAN sering menjadi suatu perkara yang diperbincangkan setiap hari. Soal makan tidak pernah membosankan kerana bukan sahaja memenuhi keperluan perut lapar tetapi juga keinginan untuk mencuba dan meneroka.
Justeru itu, dalam ruangan Minda kali ini, penulis ingin mengajak pembaca bersama menerokai antara hidangan atau makanan yang mempunyai keunikan, keistimewaan serta kelazatannya yang tersendiri.
Masakan ayam dalam buluh
Dikenali dalam Bahasa Iban sebagai ‘Manok Pansuh’ merupakan masakan tradisi masyarakat Iban. Ia merupakan ayam yang diperam bersama rempah termasuk batang tepus (mempunyai bau seakan batang serai) dan daun bungkang dimasukkan bersama dalam lubang buluh berukuran 15 hingga 20 sentimeter dengan kepanjangan batang buluh kira-kira setengah meter.
Ia kemudiannya dimasak secara konvensional iaitu dibakar dengan kayu api yang mengambil masa dalam setengah jam. Ini dapat dilihat pada keadaan fizikal buluh tersebut yang kelihatan seperti berwap-wap.
Masakan ‘Manok Pansuh’ ini merupakan hidangan ayam yang sihat kerana bahan rempah yang digunakan kebanyakannya terdiri daripada daun-daun semulajadi tanpa memerlukan minyak makan.




Air ayam yang keluar sendirinya semasa proses pembakaran pula menjadi kuah kepada hidangan ‘Manok Pansuh’ tersebut menjadikannya masakan ayam yang sangat melazatkan.
Masakan ini masih dibudayakan oleh masyarakat Iban di Brunei. Ia biasanya dihidangkan untuk menyambut tetamu, dan acara perkumpulan keluarga.
Hidangan sejuk dari Rumah Gelato
Rumah Gelato adalah jenama cukup dikenali dengan kelazatan hidangan gelatonya, resepi istimewa hasil ciptaan Awang Modeny.
Bermula dari rumah, kini Rumah Gelato mempunyai cawangan kedainya tersendiri yang menampilkan lebih dari 20 jenis perisa gelato.
Antaranya adalah Nutella Madness, Lemony Goodness, Cappucino Dream, Banana Rumble, Red Velvet, Bravo Avocado, Crunchie Speculous, Choco Banana, Very Vanilla, Red Bull, Simply Coconut, Thai Milk Tea dan banyak lagi.
Uniknya, Rumah Gelato turut menghidangkan gelatonya melalui batang kayu di samping cawan dan kon aiskrim. Kini, Rumah Gelato mempunyai pengikut lebih dari 10,000 di Instagram.
Alami keunikan kafe makmal
Kafe pertama di Brunei yang menampilkan konsep makmal, dilengkapi dengan peralatan-peralatan seperti Tabung Uji (Test Tube) untuk mengisi cecair dalam jumlah yang kecil, Picagari (Syringe) yang biasanya digunakan untuk memindahkan cecair, Slaid Jubin (Tile Slide) untuk meletakkan spesimen bagi tujuan pemerhatian melalui mikroskop, Bikar (Beaker) untuk mengisi bahan cecair, Termos Kon (Conical Flask) juga untuk mengisi bahan cecair, Buret (Burette) yang digunakan untuk menyukat isi padu dengan larutan yang tepat, Saluran Penapis (Filter Funnel) untuk kegunaan penapisan dan banyak lagi. Bayangkan, kita menyaksikan peralatan ini diisi dengan hidangan makanan di atas meja.




Antara yang terkenal adalah Kimchi Noodle iaitu mi yang dihidang bersama minyak bijan, isi ikan serta kimchi buatan rumah, Nachos Libre’ iaitu kerepek naco yang dihidang bersama sos daging, Summer H2O Down, satu minuman campuran buah-buahan, Campfire Milkshake, juga hidangan minuman bersama marshmallow yang dibakar. Menu lazat tersebut setentunya dapat dinikmati di satu-satunya kafe di Brunei, Ner Dee Café.
Aiskrim di atas kuali
Aiskrim di atas kuali sudahpun dikenali di peringkat antarabangsa seperti Jepun, Korea, Las Vegas, Malaysia, Thailand, China, Filipina dan sebagainya. Keunikan aiskrim ini adalah terletak kepada proses pembuatannya di atas kuali sejuk yang mampu membekukan cecair dalam masa beberapa minit sehingga ia menjadi aiskrim.
Di samping itu, orang ramai juga berpeluang untuk mencipta aiskrim mereka sendiri dengan pemilihan perisa, isi kandungannya serta bahan-bahan yang menjadi pelengkap kepada hidangan aiskrim.
Antara kegemaran penulis adalah perisa aiskrim susu yang diisi dengan coklat Crunchie serta meletakkan kacang almond dan madu di atasnya.
Aneka kuih-muih Brunei
Monahana Enterprise terkenal dengan kuih-muih Brunei seperti penyaram, ardam, bahulu, sapit, bingka dan sebagainya yang mencecah hingga 30 jenis.
Turut popular adalah kek pelanginya yang menggabungkan tiga warna iaitu kuning, merah dan hijau.
Menurut pemiliknya, Monahana sentiasa mempertahankan resepi asalnya, hingga ia sentiasa dikunjungi pelanggan terutamanya bagi pencinta kuih-muih Brunei.




Nasi Katok, kegemaran sepanjang masa
Nasi Katok adalah makanan yang cukup popular dan dikenali dengan makanan yang mengenyangkan dan boleh dinikmati pada kadar harga yang cukup murah. Isi kandungannya adalah nasi, ayam dan sambal dipercayai sudah bermula sejarahnya sekitar hujung 1970an.
Pada ketika dahulu, ia dijual hanya dari sebuah rumah. Pembelinya akan mengetuk pintu setiap kali ingin membeli Nasi Katok. Justeru itu, perkataan katok itu diambil daripada perbuatan mengetuk.
Lama-kelamaan Nasi Katok kian popular, dan dapat dilihat gerainya hampir di seluruh kawasan perkampungan atau dijual di restoran-restoran.
Walaupun industri makanan kian berkembang dari setahun ke setahun, Nasi Katok tetap menjadi pilihan utama di sepanjang masa dan kini menjadi antara tarikan pelancong.
Apakah kekuatan Nasi Katok sebenarnya? Ramai yang menjawap kesedapan rasa Nasi Katok itu terletak kepada sambalnya dan rempah ayamnya.
Percaya atau tidak, walaupun murah ataupun kata orang, ‘makanan bajet’, Nasi Katok tetap menjadi kegemaran sepanjang masa bagi kebanyakan individu.