Anfield sukar untuk dikalahkan

LONDON, 8 MAC – Liverpool hanya memerlukan sembilan mata sahaja lagi untuk bergelar sebagai juara Liga Perdana Inggeris buat pertama kali sejak 1990 setelah berjaya menewaskan Bournemouth 2-1 meskipun telah ketinggalan jaringan pada awal perlawanan semalam.

Pasukan lain seperti Tottenham dan Wolves bagaimanapun melepaskan peluang untuk merapatkan jurang dan memberi tekanan kepada Chelsea bagi menamatkan saingan di tempat keempat teratas.

Sheffield United merupakan saingan besar dalam perlumbaan untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan dengan selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Norwich untuk naik ke tangga ke-6 liga, sementara Arsenal berjaya merapatkan jurang dengan hanya lima mata dari empat teratas selepas mengalahkan West Ham 1-0 semalam.

Liverpool baru-baru ini mempamerkan persembahan yang mengecewakan selepas mengalami tiga kekalahan dalam empat perlawanan di semua perlawanan, termasuk kekalahan pertama mereka di Liga Perdana selepas 45 perlawanan ketika menentang Watford hujung minggu lalu.

Jaringan pembukaan di awal perlawanan, gol kontroversi oleh Callum Wilson mengancam satu lagi kejutan besar buat Liverpool. Tetapi semua itu berjaya ditangani Liverpool kerana kehebatan bermain di halaman sendiri di Anfield, di mana mereka masih berjaya mengekalkan rekod terbaik dalam sejarah Inggeris dengan 22 kemenangan berturut-turut liga ketika dua jaringan gol pantas dari Mohamed Salah dan Sadio Mane mengubah permainan.

Walau bagaimanapun Liverpool memerlukan penyelamat dari James Milner di mana Bournemouth hampir sahaja berjaya menemui gol penyamaan menerusi Ryan Fraser selepas melepasi penjaga gawang Liverpool, tetapi kekalahan semalam membuat Bournemouth kekal berada di kedudukan tiga tercorot liga. – AFP

Aksi Roberto Firmino dan Adam Smith dari Bournemouth semasa perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Liverpool dan Bournemouth di Stadium Anfield di Liverpool, England, semalam. – AP