GENEVA, 7 JAN – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran varian Omicron yang sudah mengorbankan banyak nyawa di seluruh dunia tidak lagi boleh dianggap ringan.
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata rekod bilangan pesakit dijangkiti varian itu, menyebabkan hospital dibebani.
Menurutnya lagi, gelombang kes adalah sangat besar lagi pantas, sekali gus memberi tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan di seluruh dunia.
Kira-kira 9.5 juta kes baharu COVID-19 dilaporkan kepada WHO minggu lalu, meningkat 71 peratus berbanding minggu sebelumnya.
“Namun, angka ini mungkin jauh lebih rendah kerana tidak mengambil kira hasil ujian yang tertangguh akibat musim cuti hujung tahun selain ujian kendiri positif yang tidak didaftarkan serta kes yang terlepas pandang yang membebani sistem pengawasan.
Tedros memberi ucapan pertama tahun 2022 untuk mengecam negara-negara kaya yang memonopoli vaksin tahun lalu, mengatakan ia telah mencetuskan dasar pembiakan sempurna bagi kemunculan varian-varian virus.
Oleh itu, beliau menggesa dunia untuk berkongsi dos vaksin lebih adil pada tahun baharu ini untuk menamatkan ‘kemusnahan dan kematian’ akibat COVID-19.
Sementara itu, Ketua Teknikal COVID-19 WHO, Maria Van Kerkhove, berkata peluang virus Omicron akan menjadi varian membimbangkan (VOC) yang terakhir adalah sangat tidak mungkin.
Katanya, dalam berdepan Omicron yang lebih mudah berjangkit itu, orang ramai digesa mengambil langkah yang disyorkan sebelum ini untuk melindungi diri sendiri. – AFP