Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jan – Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd melalui anak-anak syarikatnya, Takaful Brunei Am Sdn Bhd (TBA) dan Takaful Brunei Keluarga Sdn Bhd (TBK) hari ini menandatangani perjanjian dengan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) di Hotel Radisson, di ibu negara.
Menandatangani bagi pihak TBA dan TBK ialah Pemangku Pengarah Urusan Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd, Haji Shahrildin bin Pehin Orang Kaya Lela Utama Dato Paduka Haji Jaya, manakala pihak ABDB diwakili oleh Pengarah Personel Kementerian Pertahanan, Leftenan Kolonel (U) Haji Alirupendi bin Haji Perudin.
Penandatanganan itu disaksikan oleh Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah dan Pengerusi Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad bin Haji Daud.



Penandatangan adalah bagi takaful/insurans kemalangan diri dan insurans hayat berkumpulan yang memberikan perlindungan kepada anggota ABDB dalam bentuk faedah pampasan kerana kematian atau hilang upaya kekal yang merangkumi perlindungan 24 jam ketika bertugas di dalam dan luar negara dalam tempoh 12 bulan kemalangan. Ia juga diperluaskan kepada faedah bayaran mingguan, perbelanjaan penghantaran balik dan pengebumian.
Ia juga merangkumi perlindungan kepada anggota ABDB yang menyertai operasi pengaman dan misi kemanusiaan di luar negara.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat, menikmati hidangan ringan dan sesi bergambar ramai.