Anggota ABDB ikuti Program Airmanship Profesional

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Kementerian Pertahanan Jepun (JMOD) telah menjalankan Program Airmanship Profesional kali pertama pada 8 hingga 11 Julai lalu yang turut disertai seorang anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kedutaan Besar Jepun di Brunei Darussalam, menyertai program itu dari ABDB ialah Mejar (U) Pengiran Mohammad Azizul bin Pengiran Haji Mohammad Yussof.

Kenyataan menyatakan, program yang menjemput leftenan kolonel dan mejar dari negara anggota ASEAN dan Sekretariat ASEAN itu adalah sebahagian daripada kerjasama pertahanan praktikal di bawah Visi Vientiane yang merupakan asas panduan kerjasama pertahanan Jepun-ASEAN.

Program bertujuan menyumbang kepada kestabilan serantau dengan menggalakkan keyakinan bersama antara perkhidmatan udara Jepun dan ASEAN serta memastikan kedaulatan undang-undang di rantau Indo-Pasifik melalui simposium serta lawatan-lawatan ke pangkalan udara Pasukan Pertahanan Diri Udara Jepun (JASDF).

Pada 8 dan 9 Julai, satu simposium mengenai keselamatan di udara dan undang-undang penerbangan antarabangsa telah diadakan di mana para peserta bertukar pandangan mengenai keselamatan di udara dan undang-undang serta norma penerbangan antarabangsa.

Sementara itu, pada 10 Julai, para peserta melawat Aeromedical Laboratory di Pangkalan Udara Iruma JASDF di mana mereka menyaksikan peralatan latihan dan latihan yang berpengalaman spatial disorientation trainer.

Pada 11 Julai pula, mereka melawat Kumpulan Pengangkutan Udara Taktikal di Pangkalan Udara Miho di mana mereka menyaksikan latihan-latihan termasuk airdrop serta kemudahan-kemudahan.

Para peserta juga menaiki pesawat C-1, model yang dibangunkan lebih 45 tahun lalu dan C-2 yang merupakan pesawat terkini JASDF, apabila bergerak antara Pangkalan Udara Iruma dan Pangkalan Udara Miho.

Mejar (U) Pengiran Mohammad Azizul ketika menyertai salah satu Program Airmanship Profesional di Jepun.