CARACAS, 11 Jan – Seorang anggota Dewan Perlembagaan Negara (ANC) Venezuela, Tomas Lucena, telah dibunuh semalam, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Delcy Rodriguez, yang merupakan presiden badan perundangan tertinggi negara itu.
Mangsa merupakan wakil rakyat bagi negeri Trujillo yang terletak di bahagian barat laut Venezuela.
“Kami mengutuk pembunuhan kejam wakil rakyat Trujillo, Tomas Lucena. Kami mengucapkan takziah kepada ibu bapa mendiang, isteri dan anak-anak serta rakan-rakannya,” kata Rodriguez di akaun Twitter.
Rodriguez berkata pembunuhan itu sedang disiasat dan mereka “yang bertanggungjawab melakukan jenayah kejam ini akan dihukum,” kata Rodriguez sambil menambah bahawa “tiada apa yang mampu menghentikan perjalanan dewan perlembagaan itu dan pembelaannya terhadap Venezuela.”
Menurut media tempatan, Kementerian Awam belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pembunuhan itu, namun Gabenor Trujillo, Henry Rangel Silva, berkata Lucena “telah dipintas oleh beberapa lelaki yang menaiki motosikal” sebelum ditembak.
Badan perundangan kontroversial itu, yang ditubuh bagi menggubal satu Perlembagaan baharu, telah dikritik hebat oleh parti berhaluan kanan di Venezuela, yang mendakwa ANC merampas kuasa Dewan Negara (Kongres) di mana Parti Konservatif mempunyai suara majoriti.
Parti Sosialis yang memerintah telah mencadangkan penubuhan ANC sebagai satu cara bagi menangani kebuntuan politik yang melanda Venezuela sejak Presiden Nicolas Maduro dipilih ke jawatan itu dengan kemenangan tipis berbanding pesaing terdekatnya dari parti berhaluan kanan. – Bernama