Anggota ICESCO bincang inisiatif pasca krisis

Gambar serahan Kementerian Pendidikan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Negara anggota Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Dunia Islam (ICESCO) termasuk Negara Brunei Darussalam, hari ini, berpeluang untuk berkongsi pengalaman dan mengemukakan inisiatif yang dikendalikan di peringkat kebangsaan untuk pelbagai senario pasca krisis semasa Mesyuarat Suruhanjaya Kebangsaan ICESCO secara maya.

Mesyuarat yang dianjurkan oleh ICESCO itu membawa tema ‘Tempoh COVID-19 dan Pasca-Krisis: Apa Keutamaan, Apa Tindakan untuk Pendidikan, Sains dan Kebudayaan?’ dan telah dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari lebih 54 buah negara, wakil-wakil pertubuhan antarabangsa dan pemerhati.

Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad sebagai setiausaha agung Suruhanjaya Kebangsaan Negara Brunei Darussalam bagi ICESCO.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, objektif utama mesyuarat kali ini adalah untuk mewujudkan platform-platform pertukaran dan refleksi antara wilayah untuk Suruhanjaya Kebangsaan ICESCO, dan memulakan refleksi berorientasi ke hadapan mengenai kemungkinan penyesuaian semula aktiviti serta tindakan yang dijadualkan untuk tempoh pasca COVID-19 dalam bidang pendidikan, sains dan kebudayaan.

Kenyataan menyatakan, Negara Brunei Darussalam khususnya telah berkongsi tentang menyesuaikan diri dengan norma baharu dalam pengajaran dan pembelajaran bagi setiap peringkat pendidikan.

Ini termasuk tindakan dan amalan yang telah dilaksanakan selama wabak tersebut untuk mengekalkan penyampaian pendidikan kepada pelajar-pelajar dengan bekerjasama dengan agensi yang berkaitan seperti badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta dalam
menyumbangkan komputer riba dan peranti kepada pelajar-pelajar tersebut, bekerjasama dengan pihak TelCo dalam menyediakan akses sepanjang masa ke aplikasi dan platform pembelajaran dalam talian yang telah dikenal pasti, dan juga menyediakan pek data khas untuk laman web pendidikan.

Dr Haji Azman juga menyatakan hasrat Negara Brunei Darussalam untuk meneroka kerjasama dan kolaborasi dengan negara-negara anggota ICESCO serta organisasi-organisasi lain yang turut serta dalam menyesuaikan diri dan menerapkan norma-norma baharu dalam pendidikan, sains dan kebudayaan.

Turut hadir dalam mesyuarat maya itu ialah Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Walter Chong Meng Siong dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan.

Dr Haji Azman mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Mesyuarat Suruhanjaya Kebangsaan ICESCO yang diadakan secara maya, kelmarin.
Dr Haji Azman ketika mesyuarat secara maya bersama wakil-wakil negara anggota ICESCO.