Anggota kanan al-Shabaab memihak Somalia

MOGADISHU,22 JAN – Seorang anggota kanan al-Shabaab London yang berlepas ke Afrika untuk menyertai kumpulan al-Qaeda, dilaporkan berpaling tadah memihak kepada kerajaan Somalia, lapor agensi berita Anadolu.

Dalam temu bual dengan Voice of America (VOA) yang disiarkan pada Selasa, Zubair al-Muhajir, dilahirkan di Ivory Coast dan menyertai al-Shabaab pada 2006, berkata beliau terjerumus ke dalam kumpulan itu pada 2013 ketika ditahan dan di penjara selama tiga tahun oleh unit elit Al-Amniyat, yang khusus melakukan pembunuhan, serangan pengebom bunuh diri dan mengumpulkan maklumat.

“Saya berpaling tadah kerana al-Shabaab, mereka berbohong kepada umat Islam dan dunia.

Mereka mendakwa kononnya melaksanakan Syariah (hukum Islam), yang sebenarnya mereka menipu,” katanya kepada VOA.

“Tindakan mereka sebenarnya menentang Syariah, mereka membunuh orang yang tidak bersalah dan berbohong kepada rakyat.

“Jika orang ramai menyedari bahawa ideologi itu salah dan jauh menyimpang daripada ajaran Islam, saya fikir al-Shabaab tidak akan dapat bertahan untuk jangka masa lama,” katanya.

Kerajaan Somalia di bawah Presiden Mohamed Abdullahi Farmajo mengadakan program pengampunan bagi pejuang al-Shabaab yang belot.

Menurut beliau, tujuan utamanya ialah “mengampunkan golongan muda Somalia yang telah disesatkan oleh al-Shabaab.”

Penganalisis keselamatan di Afrika Timur mengatakan tindakan kerajaan Somalia itu telah mendorong sejumlah besar golongan belia untuk meninggalkan kumpulan itu.

Pada 28 Disember 2019, sekurang-kurangnya 85 orang terbunuh – termasuk dua warga Turki dan lebih 150 yang lain cedera dalam serangan bom trak di Mogadishu. Al-Shabaab mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu. – Bernama