Anggota MTE bakal bertambah

KUALA LUMPUR, 26 MAC – Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) yang kini dianggotai 11 ahli bakal disertai wakil daripada Sabah dan Sarawak sedikit masa lagi, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

MTE yang ditubuhkan kerajaan Perikatan Nasional pada 11 Mac lalu dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Perdana Menteri dibantu oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang ada pengalaman sebagai Menteri Besar Selangor serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

“Beliau turut dibantu oleh tokoh korporat muda yang hebat dan bekas pemimpin CIMB Bank, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz (Menteri Kewangan) yang telah membawa banyak idea-idea baharu bagi menangani masalah ekonomi dan kewangan, Gabenor Bank Negara Datuk Noor Shamsiah Yunos, beberapa wakil swasta termasuk Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, pakar ekonomi negara yang dihormati.

“Dan saya mempunyai beberapa pengalaman, kebetulan saya pernah menjadi Pengarah Eksekutif MTE (2001 – 2004) serta ahli Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (1998-1999) dan mengharungi pelbagai peristiwa,” kata Mustapa yang juga ahli MTE.

Beliau berkata demikian semasa Program Bicara Naratif Majlis Tindakan Ekonomi: Mencorak Landskap Ekonomi Rakyat yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada malam tadi.

Ahli jawatankuasa MTE yang lain termasuk Pengerusi The Edge Datuk Tong Kooi Ong, Pengasas MERCY Malaysia Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, Pengarah Urusan Kumpulan Celcom Axiata Bhd Tan Sri Jamaluddin Ibrahim, Pengerusi Westports Malaysia Tan Sri Gnanalingam dan Pengerusi Kumpulan Sunway Tan Sri Jeffrey Cheah.

MTE dibentuk bagi memantau isu ekonomi negara, merangka strategi dan melaksanakannya. – Bernama