Anggota polis ditahan berhubung ‘penculikan’ warga Korea Selatan

MANILA, 10 Jan – Seorang anggota polis Filipina yang ditugaskan untuk memerangi dadah telah ditahan berhubung dakwaan penculikan seorang ahli perniagaan Korea Selatan yang hilang hampir tiga bulan lalu, kata pihak berkuasa hari ini.

Isteri ahli perniagaan berkenaan melaporkan penculikan tersebut kepada polis selepas dia hilang dari rumahnya di utara bandar Angeles pada Oktober tahun lepas, tambahnya.

“Ketua (Polis Kebangsaan Filipina) telah mengarahkan anggota polis berkenaan ditempatkan di bawah tahanan ketat kerana dipercayai terlibat dalam penculikan seorang ahli perniagaan Korea,” kata jurucakap polis kebangsaan, Dionardo Carlos memberitahu AFP.

Ketua polis Filipina, Ronald dela Rosa berkata kelmarin anggota polis yang dipercayai terlibat dalam penculikan itu merupakan pegawai berpangkat rendah dalam unit khas yang memburu pengedar dadah di Angeles.

Polis telah meminta jabatan keadilan untuk memfailkan dakwaan jenayah ke atasnya, kata dela Rosa.

Bagaimanapun, dela Rosa tidak memberi sebarang butiran sama ada pegawai yang ditahan itu telah memberi sebarang maklumat mengenai kes tersebut.

Polis tidak mengenal pasti warga Korea Selatan yang hilang mahupun pegawai yang disiasat bagi dakwaan penculikan.

Kedutaan Korea Selatan di Manila memberitahu AFP ia tidak dibenarkan untuk memberi komen mengenai kes tersebut.

Akhbar Philippine Daily Inquirer kelmarin memetik isteri lelaki hilang itu sebagai berkata yang penculiknya telah menculiknya dalam bidaan untuk memeras wang tebusan.

Isterinya berkata dia sudah pun membayar lima juta peso (AS$100,000) namun penculiknya mahu 4.5 juta peso lagi, menurut akhbar berkenaan.– AFP