Anggota polis DR Congo terbunuh dalam pertempuran

KINSHASA, 13 MEI – Seorang anggota polis terbunuh di ibu negara DR Congo, Kinshasa hari ini, kata kerajaan daerah, ketika perayaan berakhirnya bulan suci Ramadan di sebuah stadium sukan utama.

“Walaupun pemimpin dua sayap pesaing masyarakat Islam telah memberi jaminan kepada gabenor Kinshasa bahawa mereka akan meraikan akhir Ramadan bersama-sama, sayangnya seorang anggota polis terbunuh dalam pertempuran,” kata jurucakap Charles Mbutamuntu.

Beberapa orang cedera dan satu kenderaan polis terbakar dalam pertempuran di luar Stadium Martir.

Ketua polis Kinshasa, Sylvano Kasongo berkata, sekitar 40 orang cedera dan 35 telah ditangkap.

Sebuah video yang disiarkan di media sosial, disahkan AFP daripada orang-orang yang hadir di tempat kejadian, menunjukkan seorang polis terlungkup dan tidak bergerak di jalan raya.

Dua puak saingan telah bertahun-tahun mempertikaikan kepemimpinan persekutuan Muslim Comico DRC.

Walaupun kes masih dibicarakan di muka pengadilan, kedua-dua belah pihak tetap berselisih dan ada kalanya bertempur.

Kira-kira 10 peratus populasi DRC beragama Islam, yang paling tertumpu di timur negara itu. – AFP