Anggota PPDB terima agihan kurma

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MAC – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), hari ini, telah mengadakan majlis penyerahan kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Auditorium, Ibu Pejabat PPDB, Jalan Tungku.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Pengarah Ja-batan Pentadbiran Am dan Kewangan PPDB, Penolong Pesuruhjaya Polis Dato Paduka Haji Awang Mohd Hassan bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan penyerahan kurma kurnia kepada ketua-ketua jabatan dan formasi PPDB untuk diserahkan kepada pegawai dan anggota serta kakitangan PPDB melalui jabatan, formasi dan unit masing-masing.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah pegawai-pegawai pemerintah daerah polis, ketua-ketua formasi serta pegawai-pegawai kanan PPDB.

Bagi mengakhiri dan memberkati majlis tersebut, Doa Selamat telah dibacakan oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Staf Sarjan 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar.

Penolong Pesuruhjaya Polis Dato Paduka Haji Awang Mohd Hassan semasa menyempurnakan penyerahan kurma kurnia peribadi Baginda Sultan kepada ketua-ketua jabatan dan formasi PPDB.