Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN – Filem ‘Anggur in Pockland’ yang dicipta oleh Pengarah filem tempatan, Awang Abdul Zainidi merupakan antara tiga buah filem yang telah terpilih dari lebih 50 buah filem seluruh dunia bagi mengikuti Pertandingan Kategori Filem Panjang (Full-Length) bersempena Festival Filem Antarabangsa Cebu, Filipina.
Awang Abdul Zainidi yang pada masa ini berada di Cebu melahirkan rasa tidak menyangka filemnya yang bersifat artistik dan aneh itu telah terpilih dan ditayangkan di University of San Carlos.
Beliau memberitahu Media Permata melalui aplikasi WhatsApp berkata, filem ‘Anggur in Pockland’ menunjukkan 100 peratus filem tempatan Brunei dan sekali gus menarik minat penonton-penonton dan pelajar-pelajar media di universiti berkenaan.
Selain Brunei, Brazil dan Indonesia juga terpilih dan tersenarai dalam tiga teratas filem terbaik bagi mengikuti pertandingan tersebut dan juga ditayangkan semasa festival berkenaan yang diadakan pada 11 hingga 15 September ini.

Beliau berharap filem ‘Anggur in Pockland’ akan dapat menaikkan nama Negara Brunei Darussalam ke mata dunia dan Insya Allah beliau akan membawa filem pendeknya, ‘More Vanishing Children’ untuk dicalonkan ke Busan Fly Festival bersama filem tempatan yang lain.
Filem ‘Anggur in Pockland’ merupakan sebuah filem beraliran artistik yang menonjolkan 100 peratus hasil buatan Awang Abdul Zainidi dan terdiri daripada pelakon-pelakon tempatan.
Menurutnya,filem ini diambil berdasarkan filem ‘Alice in Wonderland’, namun ia diubah sebagai filem Brunei yang aneh.