Angin kencang dan laut bergelora

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Angin kencang Barat Daya berkelajuan 50 hingga 60 km sejam dengan ombak setinggi 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Barat Sabah sehingga Ahad ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan malam ini berkata keadaan yang sama juga dijangka berlaku di kawasan perairan Phuket, Samui, Condore, Reef North, Layang-layang, Labuan dan Palawan.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora seperti sekarang adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Kenyataan itu juga menerangkan bahawa angin kencang itu juga dijangka melanda perairan Selat Melaka Utara, Utara Tioman, Utara Bunguran, Utara Reef South dan Sulu dengan kelajuan 40 hingga 50km sejam dan ombak dijangka setinggi 3.5 meter.

Keadaan itu juga dijangka berlaku di kawasan perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Timur Sabah.

Keadaan itu adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. – Bernama