HAMILTON, BERMUDA, 23 SEPT – Angin kencang selaju 100 batu sejam dan membawa hujan lebat melanda Bermuda awal hari ini, menyebabkan ribuan penduduk terputus bekalan elektrik dan kebimbangan mengenai kerosakan pantai ketika Taufan Fiona, ribut kuat Kategori 3, melintasi pulau Atlantik.
Pada jam 6 pagi waktu tempatan, pusat Fiona terletak kira-kira 250 kilometer barat laut wilayah British, menurut Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (NHC), yang mana ribut tersebut diturunkan kepada Kategori 3 dalam makluman terkini.
Sejak semalam, beberapa buah kawasan dilaporkan terputus bekalan tenaga, dengan lebih 7,000 orang terjejas, menurut kemudahan utama elektrik.
Kelmarin, dengan amaran taufan berkuat kuasa dan NHC meramalkan angin berterusan di pusat ribut lebih 125 batu sejam – dengan angin yang lebih kencang – penduduk Bermuda berkata mereka tidak akan mengambil risiko.
“Ribut ini akan menjadi lebih teruk daripada sebelum ini,” kata Richard Hartley, pemilik kedai di ibu kota Hamilton kepada AFP ketika dia dan isterinya menutup jendela kedai mereka dengan kepingan logam.
Pulau yang mempunyai kira-kira 64,000 orang penduduk itu sering dilanda ribut – tetapi hanya ribut kecil, dan salah sebuah tempat terpencil di dunia, 640 batu dari negara jiran terdekatnya, Amerika Syarikat.
Ini bermakna tiada tempat untuk berpindah apabila ribut besar melanda.
“Awda perlu terus berada di sini kerana tinggal di sini, awda tidak ada tempat untuk lari kerana ini hanya pulau kecil,” kata JoeAnn Scott, seorang pekerja kedai di Hamilton. – AFP