Angin kencang memarakkan kebakaran hutan

ATHENS, 13 OGOS – Puluhan anggota bomba hari ini berjuang memadam kebakaran hutan besar yang memaksa pemindahan biara dan penduduk kampung di pulau Evia, Greece ketika kepulan asap daripada kebakaran itu sudah mencecah sejauh Athens, kata pihak berkuasa.

Pihak berkuasa telah memindahkan kira-kira 500 penduduk dari kampung Kontodespoti dan Makrymalli ketika api mendekati rumah-rumah, kata para pegawai.

Pihak berkuasa juga mengenakan kecemasan di dua buah kampung yang diancam oleh kebakaran di pulau itu, yang kedua terbesar Greece selepas Crete dan terletak di timur laut Athens.

Kebakaran bermula pada jam 3 pagi di tepi jalan dan merebak cepat oleh angin kencang ke kawasan pertanian kering dan tebal di tengah pulau itu, kata agensi berita separa rasmi, ANA.

Biara di Panagia Makrymallis telah dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga dan penduduk di kampung VKontodespoti dan Stavros dimaklumkan untuk sedia berpindah, kata TV SKAI.

Kepulan asap besar dari hutan terbakar menjulang ke udara kampung Psachna di pulau Evia, timur laut Athens pada 13 Ogos. – AP

“Semuanya sudah sedia jika terpaksa untuk mengosongkan kampung-kampung. Pemindahan boleh dilakukan dalam beberapa minit. Kami sudah bersedia sepenuhnya,” kata Fani Spanos, gabenor tengah Greece yang menyelaras operasi, memberitahu SKAI.

Dia memberi amaran kebakaran itu belum lagi dikawal sepenuhnya dan merebak ke kawasan daratan yang tidak dapat dilalui.

Sekitar 200 anggota bomba memadam kebakaran dengan sokongan kira-kira 75 jentera bomba dan lima helikopter pengebom air serta enam pesawat.

Angin kencang mengakibatkan asap dari kebakaran hutan pokok pain di utara menghala ke rantau Magnesia dan selatan semenanjung Attica dan Athens.

ANA berkata hutan pain di Evia adalah sebahagian daripada ‘Natura 2000’ iaitu rangkaian kawasan dan habitat Eropah yang dilindungi.

Greece telah dilanda oleh siri kebakaran hutan sejak hujung minggu di tengah-tengah angin kencang dan suhu 40 darjah Celsius. – AFP