Angin kencang ragut 9 nyawa

COLOMBO, 10 Okt – Seramai sembilan orang telah dilaporkan terkorban setakat ini sementara 17 yang lain cedera dan seorang dilaporkan masih hilang akibat hujan lebat yang melanda Sri Lanka hujung minggu lalu, menurut jurucakap Pusat Pengurusan Bencana (DMC), Pradeep Kodippili memberitahu laporan terbaharu hari ini.

Lebih 70,000 orang terjejas sementara 15,000 mencari tempat perlindungan tatkala angin kuat dan hujan berterusan, menurut DMC.

Kodippili berkata, beberapa batang jalan raya di bahagian selatan masih dilanda banjir dan paras air mula surut, sesiapa yang tinggal di kawasan-kawasan rendah disarankan untuk berjaga-jaga kerana hujan dijangka akan berlaku.

Menurutnya lagi, amaran merah tanah runtuh masih dikekalkan di Daerah Kalutara, bahagian selatan dan penduduk yang berada di kawasan berisiko tinggi telah dipindahkan ke tempat perlindungan.

Talian kecemasan turut dibukakan oleh DMC bagi sesiapa yang memerlukan bantuan atau terkandas akibat banjir.

Presiden Maithripala Sirisena yang kini berada dalam lawatan ke Seychelles kelmarin, mengarahkan Menteri Pengurusan Bencana, Duminda Dissanayake bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan dengan kadar segera kepada mangsa yang terjejas.

Beliau mengarahkan untuk memberikan bantuan secara berterusan seperti bekalan-bekalan kering, air bersih dan kelengkapan perubatan kepada mangsa-mangsa yang berada di tempat perlindungan dan juga yang terjejas akibat banjir.

“Presiden meluahkan rasa risaunya terhadap mangsa-mangsa yang terjejas akibat keadaan cuaca yang teruk dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terkorban,” menurut satu kenyataan dari pejabat beliau.

Presiden kemudiannya mengarahkan anggota pihak berkuasa tiga penjuru untuk terus memberi bantuan dalam operasi bencana kemanusiaan. – Xinhua