Friday, April 19, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Angin kencang, ribut salji landa UK

    LONDON, 10 MAC – Perjalanan kereta api dibatalkan, beberapa sekolah ditutup dan pemandu terperangkap selama berjam-jam di lebuh raya utama akibat ribut salji dan angin kencang melanda Britain hari ini untuk kali kedua dalam seminggu.

    Sistem cuaca, yang dinamakan Ribut Larissa oleh ahli meteorologi, membawa angin ribut dan salji ke kebanyakan tempat. Alex Burkill, pakar meteorologi di perkhidmatan kaji cuaca, berkata kawasan paling teruk terjejas ialah utara England dan utara Wales, di mana kelajuan angin mencecah 80 kilometer sejam diikuti salji setinggi 30 sentimeter.

    Sesetengah pemandu menghabiskan lebih tujuh jam di dalam kereta mereka selepas trafik terhenti di lebuh raya M62 yang merentasi utara England.

    “Saya melihat banyak kereta sport terbiar, sebuah Jaguar dibiarkan di atas jalan dengan penyodok tersangkut di tanah di sebelahnya dan tiada pemandu,” kata wartawan, Richard McCarthy.

    Banyak jalan di tanah tinggi di tengah-tengah daerah puncak England tidak boleh dilalui, dan laluan kereta api yang menghubungkan bandar Manchester dan Sheffield dihadang oleh pokok tumbang.

    Udara Artik yang membeku telah menyebabkan suhu menjunam minggu ini hingga negatif 16 darjah Celsius di tanah tinggi Scotland.

    Perkhidmatan kaji cuaca berkata ini bukan sesuatu yang luar biasa untuk mengalami cuaca sejuk pada musim bunga, apabila keadaan sering berubah-ubah. Secara statistik, UK berkemungkinan besar mendapat salji pada bulan Mac berbanding Disember, kata pejabat itu. – AP

    Pemandangan kawasan Loxley di Sheffield selepas salji tebal semalaman, England. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...