Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Kejadian angin kencang telah menerbangkan enam keping atap sebuah rumah di kawasan perumahan Kampung Bolkiah B baru-baru ini.
Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), tiga orang anggota dari Balai Bomba Sungai Kebun yang diketuai oleh ABK 235 Mohd Mahari bin Haji Sidup dikerahkan ke lokasi, dalam kejadian yang berlaku pada 15 Ogos lalu.
Apabila tiba di tempat kejadian, anggota bomba dan penyelamat mendapati enam keping atap rumah berukuran 19 kaki panjang dan 3 kaki lebar diterbangkan oleh angin kencang.
Anggota bomba dan penyelamat bertindak memasang kanvas bagi memastikan rumah berkenaan terlindung daripada panas dan air hujan. Dalam kejadian berkenaan, tidak ada kecederaan atau korban jiwa dilaporkan berlaku.
JBP menyarankan orang ramai supaya sentiasa mengikut perkembangan, nasihat dan amaran mengenai maklumat keadaan cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam melalui siaran RTB atau melayari laman sesawang, www.met.gov.bn, mengikut laman sosial Facebook (bruneiweather), Instagram @bruneiweather dan aplikasi mudah alih, Brunei WX.