KUALA LUMPUR, 21 MEI – Kes baharu COVID-19 di Malaysia masih melepasi paras angka 6,000 apabila merekodkan 6,493 kes hari ini, dengan 2,163 daripadanya dilaporkan di Selangor.
Jumlah itu menjadikan Selangor mencatatkan kes harian tertinggi dalam tempoh 24 jam lepas diikuti Kuala Lumpur dengan 641 kes, Sarawak (612), Kelantan (467), Kedah (434), Johor (406), Perak (382), Negeri Sembilan (370), Pulau Pinang (302), Melaka (165), Pahang (161) dan Sabah (144).
Terengganu pula merekodkan 139 kes disusuli Labuan (84), Putrajaya (20) dan Perlis (tiga).
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter rasminya memaklumkan keseluruhan kes COVID-19 dalam negara kini berjumlah 498,795.
Sementara itu dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat 50 kes kematian hari ini melibatkan 22 kes di Selangor, manakala Sarawak (lapan), Johor (lima), Kedah (empat), Kuala Lumpur (tiga), masing-masing dua kes di Negeri Sembilan, Perak serta Melaka, dan masing-masing satu kes di Pulau Pinang dan Kelantan.
Beliau berkata kes kematian hari ini melibatkan seorang individu bukan warganegara berumur 55 tahun, dan 49 warga tempatan berusia dalam lingkungan 33 hingga 90 tahun, menjadikan jumlah kumulatif kematian kini menjangkau 2,149.
Dr Noor Hisham turut memaklumkan kes baharu melibatkan 6,491 kes penularan tempatan dan hanya dua kes import menjadikan kes aktif kini 52,106 manakala 4,508 kes sembuh dilaporkan.
“Jumlah individu yang dirawat dalam unit rawatan rapi (ICU) setakat ini ialah seramai 643 kes dengan 363 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya. – Bernama




































