Angka kematian cecah 10 dalam protes kewarganegaraan

NEW DELHI, 20 DIS – Pertempuran terbaharu antara polis India dan penunjuk perasaan tercetus hari ini selepas lebih daripada seminggu kekacauan disebabkan undang-undang baharu kewarganegaraan yang dianggap anti-Islam, ketika beribu-ribu berhimpun di masjid terbesar negara itu.

Tiga orang pembantah maut semalam manakala seorang lagi terbunuh dalam pertempuran di Lucknow, negeri Uttar Pradesh hari ini, membawa jumlah kematian akibat gelombang kemarahan itu kepada 10 orang.

Kerajaan India turut menyekat perkhidmatan internet di beberapa kawasan susulan kematian tersebut, lapor agensi berita Anadolu.

Perintah berkurung dikuatkuasakan di bandar Mangaluru di selatan Karnataka, lokasi dua orang penunjuk perasaan terbunuh selepas polis melepaskan tembakan, menurut saluran televisyen tempatan pada Jumaat.

“Perintah berkurung akan berkuat kuasa sehingga tengah malam 22 Dis. Perkhidmatan internet  disekat di Dakshina (selatan) Kannada hingga Sabtu malam,” lapor akhbar The Hindu hari ini.

Rakyat India berhimpun dalam protes terhadap undang-undang kewarganegaraan selepas sembahyang Jumaat di luar Masjid Jama, di New Delhi, 20 Disember. Angka kematian mencecah 10 orang dalam protes tersebut ketika kerajaan melaksanakan perintah berkurung dan menyekat internet. – AP

Perkhidmatan internet turut disekat di Uttar Pradesh, Lucknow, Ghaziabad, Pilibhit, Sambhal, Bareilly dan Meerut.

Bagaimanapun hari ini, perkhidmatan itu kembali seperti biasa di beberapa tempat di timur laut Assam.

Ketua Polis G P Singh, memberi amaran supaya orang ramai lebih berhati-hati ketika memuat naik status terkini di media sosial.

Undang-undang baharu kewarganegaraan itu bertujuan memberikan kewarganegaraan kepada pelarian bukan Islam dari Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan jika mereka didapati melarikan diri daripada pen-ganiayaan agama serta tiba di India sebelum 2015.

Ia telah diluluskan oleh Dewan Rakyat yang dikenali sebagai Lok Sabha dan Dewan Negara atau Rajya Sabha.

Pengkritik menyifatkan rang undang-undang berkenaan sebagai pilih kasih terhadap mereka yang beragama Islam serta sebagai langkah awal terhadap pelan kerajaan nasionalis Hindu melaksanakan Pendaftaran Kewarganegaraan Kebangsaan (NRC) yang mensyaratkan rakyat membuktikan kewarganegaraan mereka.

Sesetengah ahli politik India membandingkan CAB dan NRC dengan undang-undang rasis era Nazi Jerman serta undang-undang kewarganegaraan Israel.

Orang yang bukan Islam akan dilindungi di bawah undang-undang baharu itu dan akan menjadi warganegara secara automatik, sedangkan 180 juta penduduk Islam di negara itu perlu membuktikan kewarganegaraan mereka. –Bernama/AFP