Angka kematian cecah 20 orang

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Negara Brunei Darussalam merekodkan kematian ke-20 hari ini apabila dua lagi pesakit disahkan COVID-19 meninggal dunia.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar) pada sidang media di Kementerian Kesihatan hari ini menyampaikan berita dukacita itu, menjelaskan kes ke-19 ialah seorang wanita berusia 41 tahun yang merupakan kes 2636 manakala seorang lagi ialah lelaki berusia 77 tahun yang merupakan kes 3389.

“Kedua-dua kes ini telah mengalami masalah paru-paru setelah dijangkiti COVID-19 dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Intensif, Pusat Pengasingan Kebangsaan ke-rana memerlukan bantuan mesin pernafasan,” jelas Yang Berhormat Dato.

Sehubungan itu, demi menjaga kerahsiaan dan menghormati privasi keluarga mangsa, butiran peribadi mereka tidak akan dikongsikan dan orang ramai juga dipohon tidak menyebarkan maklumat berkaitan mangsa.

“Di kesempatan ini, saya mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga-keluarga kes berkenaan. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para salehin. Al-Fatihah,” kata Yang Berhormat Menteri Kesihatan.