Angka kematian cecah 40 orang

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Seorang lagi pesakit disahkan positif COVID-19, lelaki berusia 44 tahun yang merupakan Kes 8010 telah meninggal dunia hari ini.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan berita sedih itu pada sidang media jangkitan COVID-19 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurutnya, kes itu mengalami masalah paru-paru setelah dijangkiti COVID-19.

Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam kini mencatatkan 40 jumlah kematian akibat COVID-19.

Di kesempatan itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga kes berkenaan.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah,” kata Yang Berhormat Dato.