Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 FEB – Lima kes yang positif COVID-19 di Negara Brunei Darussalam telah kembali ke rahmatullah dalam tempoh 48 jam yang lalu.
Daripada lima kes tersebut, satu kes dikategorikan sebagai kematian disebabkan COVID-19, dua kes tidak dikategorikan sebagai kematian disebabkan COVID-19, dan dua lagi kes masih dalam siasatan.
Daripada lima kes kematian tersebut juga, tiga kes telah divaksinasi dengan dua dos manakala dua kes telah divaksinasi dengan satu dos.
Manakala empat kes yang disahkan positif COVID-19 pada masa ini berada dalam kategori 5, manakala tiga kes berada dalam kategori 4.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan dalam Siaran Akhbar Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, hari ini.
Menurut Kementerian Kesihatan, sebanyak 2,015 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kepada 27,599 orang.
Ia adalah hasil daripada pengesanan ujian swab RT-PCR dan juga ujian pantas antigen (ART) di mana sebanyak 1,148 kes telah didapati melalui ujian RT-PCR dan 867 lagi kes melalui ujian ART. Kenyataan turut menyatakan bahawa sebanyak 6,659 jumlah ujian makmal telah dilakukan dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Manakala 550 kes pula telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 18,520 kes sementara jumlah kes aktif ialah sebanyak 8,972 kes.
Menurut kenyataan lagi, kadar pengisian di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara atau bed occupancy rate ialah sebanyak 13.3 peratus.
Bagi pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan setakat kelmarin, kadar keseluruhan penduduk yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin ialah 94.9 peratus, kadar bagi yang telah menerima dua dos vaksin ialah 94.2 peratus, manakala kadar bagi yang telah menerima tiga dos ialah 49.1 peratus.