Angka kematian COVID-19 di Brazil lepasi 500,000

RIO DE JANEIR, 20 JUN – Brazil semalam merekodkan kes kematian melepasi angka 500,000 akibat COVID-19, negara kedua di belakang Amerika Syarikat (AS).

“500,000 nyawa hilang akibat pandemik yang melanda Brazil dan dunia kita,” kata Menteri Kesihatan, Marcelo Queiroga di Twitter.

Kementerian Kesihatan Brazil dalam data terbaharu merekodkan kematian mencecah 500,800, dengan 2,301 kematian dalam tempoh 24 jam terakhir.

Bagaimanapun pakar mengatakan jumlah itu tidak menggambarkan situasi sebenar yang dijangka lebih tinggi.

Minggu ini jumlah kematian harian di Brazil melebihi 2,000 untuk pertama kalinya sejak 10 Mei.

Brazil dengan penduduk seramai 212 juta, menjadi negara kedua selepas AS yang merekodkan kes kematian melebihi 500,000 akibat COVID-19.

Lebih 60 peratus kematian di Brazil berlaku sejak awal 2021 dan kini bergelut gelombang ketiga dengan jangkitan dan kematian meningkat.

Menurut laporan mingguan terbaharu dari yayasan penyelidikan perubatan Fiocruz, Brazil berada dalam keadaan kritikal dengan jumlah kematian yang tinggi dan kemungkinan keadaan bertambah buruk dalam beberapa minggu akan datang ketika musim sejuk tiba di hemisfera selatan.– AFP

Pemandangan bunga ros yang diletakkan oleh pekerja NGO Rio de Paz di pantai Copacabana, Rio de Janeiro, sebagai memperingati 500,000 mangsa COVID-19, kelmarin. – AFP