Angka kematian COVID-19 meningkat 11 orang

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Dua lagi pesakit disahkan dijangkiti COVID-19 di negara ini telah meninggal dunia hari ini.

Pesakit pertama ialah seorang lelaki berusia 25 tahun yang merupakan kes 1888 dilaporkan pada 24 Ogos lalu, manakala pesakit kedua ialah seorang wanita berusia 54 tahun yang merupakan kes 499 dilaporkan pada 12 Ogos lalu.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam menjelaskan kedua-duanya mengalami masalah jangkitan paru-paru setelah dijangkiti koronavirus.

“Sehubungan dengan ini, demi menjaga confidentiality dan menghormati privasi keluarga kes-kes ini, Kementerian Kesihatan tidak akan mengongsikan butiran peribadi mereka,” jelas Yang Berhormat Dato.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga memohon kepada orang ramai untuk sama-sama menghormati dan tidak menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan dengan kes-kes tersebut.

“Di kesempatan ini, saya mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan Allahyarhamah. Semoga roh Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para salehin. Al-Fatihah.”