Angka kematian di Sepanyol cecah 22,000

MADRID, 23 APRIL – Sepanyol mengatakan hari ini 440 orang telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam terakhir akibat COVID-19, sedikit meningkat dalam tiga hari kebelakangan, menjadikan jumlah kematian keseluruhan di negara itu kepada 22,157.

Sepanyol telah mengalami jumlah kematian ketiga tertinggi di dunia akibat wabak penyakit itu selepas Amerika Syarikat dan Itali, dengan jangkitan kini lebih dari 213,000 kes, kata kementerian kesihatannya.

Pegawai kesihatan Sepanyol percaya wabak itu memuncak pada 2 April ketika 950 orang meninggal dunia dalam masa 24 jam, hampir tiga minggu setelah perintah berkurung dan penutupan ketat, dengan berkesan mengurung hampir 47 juta rakyat mereka di rumah untuk memperlahankan penyebaran virus tersebut.

“Kami telah mencapai matlamat memperlahankan dan membendung wabak itu untuk minggu ini tetapi kami masih dalam fasa wabak yang sukar,” kata Menteri Kesihatan Salvador Illa pada sidang media.

Perintah berkurung pada 14 Mac telah dua kali dilanjutkan dan parlimen pada kelmarin meluluskan pelanjutan baharu sehingga 9 Mei, walaupun syaratnya akan sedikit dilonggarkan dari 26 April untuk membolehkan anak-anak meluangkan masa di luar.

Perdana Menteri Pedro Sanchez memberitahu itu semalam, dia berharap Sepanyol dapat memulakan kelonggaran sekatannya yang paling ketat di Eropah pada separuh kedua bulan Mei, tetapi memberi amaran bahawa “de-eskalasi akan sedikit lambat”. – AFP

Seorang doktor dan kakitangan kesihatan ketika merawat salah seorang pesakit COVID-19 di Unit Rawatan Rapi di Hospital Principe de Asturias di Alcala de Henares dekat Madrid. – AFP