Angka kematian di UK lepasi 50,000

LONDON, 10 JUN – Angka kematian yang disyaki dan disahkan akibat COVID-19 di Britain sudah melepasi jumlah 50,000, menurut kenyataan kerajaannya.

Setiausaha Perniagaan, Alok Sharma, merujuk kepada analisis dari Pejabat Statistik Nasional (ONS), mengatakan bahawa 50,107 mati akibat wabak itu sehingga 29 Mei lalu.

Secara rasminya, kerajaan hanya mengira angka kematian bagi mereka yang diuji positif COVID-19.

Data ONS turut menunjukkan kematian di England dan Wales melebihi purata lima tahun terakhir sebanyak 57,961 dalam tempoh 10 minggu sejak wabak itu berlaku pada bulan Mac lalu.

Sharma berkata jangkitan dan kematian semakin berkurangan, malah United Kingdom yang turut melakukan sekatan pergerakan sejak Mac lalu akan melonggarkan sekatan itu tidak lama lagi dengan membenarkan semua kedai tidak ‘penting’ di England dibuka semula bermula 15 Jun ini, selagi mereka mematuhi garis panduan keselamatan dan kesihatan.

“Ini adalah langkah terakhir dalam memulakan semula ekonomi dan membolehkan semua urusan kembali seperti biasa. Namun, jarak dua meter tetap diutamakan apabila kedai-kedai dibuka,” katanya.

Namun, arahan pembukaan semula pub dan restoran hanya akan bermula seawal 4 Julai dan kerajaan juga dijangka mengumumkan secara rasmi pembukaan zoo dan safari sebagai sebahagian daripada kelonggaran secara beransur-ansur oleh Perdana Menteri Boris Johnson. – AFP