Angka kematian gempa meningkat

PADADA, 16 DIS – Penyelamat mengeluarkan dua lagi mayat hari ini daripada sebuah bangunan tiga tingkat yang runtuh akibat gempa bumi kuat melanda selatan Filipina dan bertungkus-lumus mencari sekurang-kurangnya tujuh orang lagi yang masih terperangkap di dalamnya.

Pasukan tentera, polis, bomba dan penyelamat serta sukarelawan, bersenjatakan pengesan suara dan pergerakan, menemui mayat ketiga dalam runtuhan bangunan di bandar Padada, wilayah Davao del Sur namun tidak dapat mengeluarkan segera mayat yang tersepit di antara simen, menurut Datuk Bandar Padada, Pedro Caminero.

Sekurang-kurangnya lima orang mati dalam gempa bumi 6.9 magnitud itu yang melanda Padada semalam dan sebahagian pinggir bandar dan wilayah di rantau yang sudah pun terjejas dengan gempa bumi maut dalam beberapa bulan kebelakangan. Seorang kanak-kanak mati ditimpa dinding yang runtuh dalam rumahnya manakala seorang wanita dalam usia 70an mati akibat serangan penyakit jantung semasa gempa bumi, kata pegawai.

“Kami sedang mencari tujuh lagi,” kata Caminero melalui telefon dari Padada. Sejumlah 84 orang lagi cedera dalam gempa tersebut. – AP

Penyelamat mengusung mayat yang dikeluarkan dari sebuah bangunan tiga tingkat di Padada, selatan Filipina. Angka kematian meningkat kepada lima orang manakala tujuh lagi sedang dicari daripada bangunan tiga tingkat yang runtuh. – AP