Angka kematian keseluruhan COVID-19 kini 35 orang

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Seorang lagi pesakit positif COVID-19 di Negara Brunei Darussalam telah meninggal dunia hari ini.

Kes tersebut ialah seorang perempuan berumur 83 tahun yang merupakan Kes 5591, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar memaklumkan semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Kes ini telah mengalami masalah paru-paru setelah dijangkiti COVID-19,” jelas Yang Berhormat Dato lagi.

Dengan kes kematian tersebut, Negara Brunei Darussalam kini mencatat 35 kes kematian yang disebabkan oleh COVID-19.

Di kesempatan itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga kes berkenaan.

“Semoga keluarga mendiang diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi pemergiannya,” katanya.