Angka kematian meningkat 44 orang

BEIJING, 12 OGOS – Taufan besar yang menghentam pesisir timur China dan memaksa lebih daripada sejuta penduduk melarikan diri, kini sudahpun meragut 44 jiwa dalam angka kematian terbaharu yang disahkan, media kerajaan menjelaskan hari ini.

Rakaman di agensi penyiar kerajaan, CCTV menunjukkan padang dan jalan raya dibanjiri air lumpur, kenderaan ditenggelami, sampah-sarap bertaburan dan pokok ditumbangkan ketika angin kencang dan hujan daripada Taufan Lekima mengganas di bandar-bandar di sepanjang pesisirnya.

Sekurang-kurangnya 16 orang masih hilang ketika taufan itu bergerak ke arah pesisir pantai berhampiran Beijing.

Agensi berita Xinhua melaporkan angka kematian meningkat kepada 39 di wilayah Zhejiang di mana Lekima mendarat pada Sabtu, membawa angin hampir 190kmsj dan menghentam pesisir pantai dengan ombak setinggi beberapa meter.

Manakala 18 lagi terbunuh dalam satu tanah runtuh akibat hujan lebat di Wenzhou, menurut agensi berita itu.

Lebih daripada sejuta orang dipindahkan dari kediaman mereka sebelum taufan melanda, Xinhua melaporkan. – AFP

Penyelamat mencari mangsa dalam satu kejadian tanah runtuh akibat hentaman Taufan Lekima di mukim Yongjia, di wilayah Zhejiang, timur China. Lebih sejuta dipindahkan manakala angka kematian terus meningkat akibat Lekima. – AP