Angka kematian meningkat enam orang

WHAKATANE, 10 DIS – Kisah-kisah kewiraan, kemusnahan dan kecederaan mengerikan muncul hari ini selepas letusan gunung berapi White Island, dengan angka kematian disahkan adalah enam orang setelah seorang lagi yang cedera meninggal dunia di sebuah hospital di Auckland.

Lapan orang lagi dianggap mati selepas letusan berlaku semalam, manakala berpuluh-puluh lagi yang cedera dirawat di unit lecur di hospital-hospital di seluruh negara.

Antara 47 orang yang terperangkap di pulau itu semasa letusan mendadak adalah pelancong dari Australia, Amerika Syarikat, Britain, China, Jerman dan Malaysia selain pemandu pelancong tempatan.

Ketika sanak saudara mereka yang hilang menanti penuh debaran untuk mengetahui nasib orang tersayang, polis mengatakan keadaan masih lagi terlalu berbahaya untuk pasukan menyelamat pergi ke tapak letusan.

Polis juga menjelaskan mereka sedang membuka siasatan mengenai kejadian tersebut apabila persoalan bagaimana pelancong dibenarkan pergi ke pulau itu dikemukakan dan dalam masa yang sama, menafikan bahawa ia mungkin tindakan jenayah. – AFP

Letupan gunung berapi di White Island, New Zealand pada 9 Disember. – AP