Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Seorang lagi pesakit disahkan positif jangkitan COVID-19 meninggal dunia hari ini.
“Mendiang ialah seorang wanita berumur 82 tahun yang merupakan Kes 1435 yang telah didapati positif pada 21 Ogos lalu,” umum Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada sidang media jangkitan COVID-19 di Dewan ‘Al-Afiah, Kementerian Kesihatan. Menurut Yang Berhormat Dato, pesakit mengalami masalah jangkitan paru-paru setelah dijangkiti COVID-19.
Sehubungan dengan itu, demi menjaga confidentiality dan menghormati privasi keluarga kes berkenaan, butiran peribadi mendiang tidak akan dikongsikan.
Orang ramai juga dipohon agar sama-sama menghormati dan tidak menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan kes tersebut.
“Di kesempatan ini, saya mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang. Semoga keluarga mendiang diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi pemergiannya.”