Angka kematian siklon Fani meningkat

NEW DELHI, 13 Mei – Angka kematian akibat siklon besar yang melanda kawasan timur India dan Bangladesh pada awal Mei meningkat kepada 77 hari ini tatkala kemarahan meningkat disebabkan berjuta-juta penduduk masih tidak mempunyai bekalan elektrik dan air.

Siklon Fani, siklon musim panas pertama yang melanda pantai Teluk Bengal di India dalam 43 tahun, mendarat di negeri Odisha pada 3 Mei dengan kelajuan angin sehingga 200 kilometer sejam.

Angin memusnahkan setengah juta rumah, mencabut beratus ribu pokok dan memutuskan bekalan elektrik, telekomunikasi dan air untuk berjuta-juta penduduk di salah sebuah negeri paling miskin di India.

Angka kematian, yang sebelum ini mencecah 41 orang, meningkat dengan kematian baharu dilaporkan dari daerah Puri dan Khurda semalam. Tiga belas orang juga terbunuh di Bangladesh selepas Fani melanda kawasan utara.

“Jumlah kematian telah meningkat kepada 64 dengan kematian maksimum (39) dilaporkan dari Puri,” beritahu seorang pegawai di Pusat Operasi Kecemasan Negeri kepada AFP.

Gambar yang diambil pada 10 Mei 2019 menunjukkan pemandangan menyeluruh Puri di timur negeri India Odisha selepas siklon Fani melanda. Sekurang-kurangnya 42 orang terbunuh di negeri Odisha, India dan negara jiran Bangladesh setelah siklon Fani melanda rantau itu pada 3 Mei, membawa angin dengan kelajuan sehingga 200 kilometer sejam. – AFP

India pada mulanya menerima pujian, termasuk daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, kerana memindahkan 1.2 juta penduduk ke tempat selamat sebelum ribut tiba, dalam apa yang digelar oleh ketua menteri Odisha sebagai ‘pemindahan manusia terbesar dalam sejarah.’

Namun pujian berkenaan telah berubah kepada kemarahan untuk kebanyakan penduduk tempatan yang melihat kadar pembinaan semula yang perlahan dan sikap endah tak endah daripada pihak berkuasa.

“Saya telah kehilangan rumah beratap jerami saya akibat siklon. Tidak ada sesiapa daripada kerajaan yang telah datang untuk melihat rumah saya yang rosak,” Shantilata Mishra, seorang penduduk di daerah Puri, dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Press Trust of India (PTI).

“Saya tidak tahu bila mereka akan menilai kerosakan dan memberikan bantuan kepada saya untuk membina rumah saya,” katanya.

Malah penduduk yang marah telah membanjiri jalan raya untuk membantah kadar penghantaran bantuan yang lambat serta harga makanan asas dan air yang tinggi.

Semalam, penunjuk perasaan menyekat jalan raya di ibu negeri Odisha Bhunaneswar, berkata kekurangan penyelarasan di antara pelbagai agensi kerajaan memburukkan lagi masalah yang dihadapi oleh mereka.

“Terdapat had kepada kesabaran kami. Kami tidak dapat tidur. Kami terpaksa membeli air minuman pada harga amat tinggi,” beritahu seorang pembantah kepada PTI.

Seorang lagi pembantah berkata kerajaan telah gagal menyediakan ‘keperluan asas seperti air dan elektrik meskipun telah berjanji akan memulihkan bekalan elektrik pada Ahad.’

Ketua menteri Odisha Naveen Patnaik berkata penilaian rumah yang rosak akan bermula pada 15 Mei dan menjanjikan bantuan kewangan untuk keluarga yang terjejas. – AFP