Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Angka korban akibat gempa meningkat 65

    BEIJING, 6 SEPT – Para penyelamat berusaha mencari mangsa di bawah runtuhan di perkampungan terpencil di kawasan pergunungan barat daya China hari ini selepas kejadian gempa bumi meragut sekurang-kurangnya 65 jiwa, dengan beratus-ratus penduduk dipercayai terkandas atau hilang.

    Gempa berukuran 6.6 magnitud melanda kira-kira 43 kilometer tenggara bandar Kangding di wilayah Sichuan pada kedalaman 10 kilometer kelmarin, menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS).

    Sekurang-kurangnya 65 orang dilaporkan maut, menurut media negeri awal hari ini, dengan lebih 200 orang masih terpisah daripada petugas penyelamat di kawasan terpencil dan ada yang hilang.

    Video dari penyiar negara CCTV menunjukkan anggota bomba mengeluarkan seorang wanita yang cedera dari bawah runtuhan dan membawa mangsa yang terselamat di atas usungan menyeberangi sungai melalui jambatan sementara.

    Pentadbiran Meteorologi China mengeluarkan amaran bahawa kawasan yang dilanda gempa akan mengalami ‘turunan hujan yang signifikan’ sehingga Khamis dan tanah susur akan menjejaskan usaha menyelamat.

    Rakaman yang dikongsikan oleh Pusat Rangkaian Gempa China (CENC) kelmarin menunjukkan bongkah batu runtuh dari kawasan pergunungan di Luding, mengakibatkan debu tebal. Sebuah bandar mengalami ‘kerosakan teruk’ akibat tanah runtuh yang dicetuskan oleh gempa bumi, lapor CCTV.

    “Sebelum jam 5, saya terdengar bunyi getaran. Rumah bergoncang dengan kuat sehingga membuatkan saya terus terjaga,” kata seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Zheng dari Lu, wilayah Sichuan, kepada Beijing News.

    “Rumah abang saya runtuh, rumahnya sudah usang dan dibina lebih 10 tahun lalu. Rumah saya baru dibina, jadi keadaannya lebih baik.” – AFP

    Anggota penyelamat berusaha memindahkan penduduk selepas gempa bumi berukuran 6.6 magnitud melanda Luding, wilayah Sichuan, 5 Ogos. – AFP

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...