Tuesday, March 21, 2023
23.1 C
Brunei

-

Angka korban gempa bumi di Turkiye, Syria lebih 5,000

HATAY, 7 FEB – Pasukan penyelamat di Turkiye dan Syria hari ini meneruskan misi menyelamat dalam keadaan cuaca sejuk, gempa susulan dan bangunan runtuh ketika berusaha mengeluarkan mangsa tertimbus yang terselamat akibat gempa bumi yang mengorbankan lebih 5,000 orang.

Agensi bencana berkata ribuan bangunan menjadi rata di bandar merentasi wilayah sempadan yang luas, menambahkan lagi kesengsaraan mereka yang berada di kawasan yang sudah dilanda perang, pemberontakan, krisis pelarian dan wabak taun baru-baru ini.

Sepanjang malam, mangsa yang terselamat tanpa menggunakan sebarang peralatan berusaha menyelamatkan keluarga, rakan dan sesiapa sahaja yang terperangkap di bawah runtuhan blok apartmen bertingkat, susulan gempa bumi berukuran 7.8 skala Richter yang melanda awal pagi semalam.

“Di mana ibu saya?” tanya seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang kecewa dengan wajah, rambut dan baju tidurnya dipenuhi habuk dari sebuah bangunan runtuh di Hatay, bandar yang terletak sebelah sempadan Turkiye.

Beberapa kemusnahan paling teruk berlaku berhampiran pusat gempa antara Kahramanmaras dan Gaziantep, sebuah bandar dengan dua juta penduduk yang mana keseluruhan blok yang runtuh itu ditutupi timbunan salji.

Seorang lelaki mengendong jasad mangsa gempa bumi di kampung Besnia, dekat sempadan Turkiye, wilayah Idlib, Syria pada 6 Februari. – AP
Mesut Hancer memegang tangan anaknya Irmak berusia 15 tahun yang meninggal dunia dalam bencana gempa bumi pada 7 Februari. – AFP
Seorang wanita diselamatkan selepas gempa bumi di Hatay, Turkiye, kelmarin. – AFP

Ketika penduduk berusaha membersihkan timbunan batu-bata, kesan runtuhan bangunan bertingkat, sebuah lagi bangunan berdekatan roboh, menyebabkan orang ramai menjerit dan berlari mendapatkan perlindungan.

Dengan gegaran susulan yang masih melanda kawasan itu, mangsa yang terselamat bermalam di luar rumah, terlalu takut untuk masuk ke rumah.

Ada yang berteduh di bawah tempat perlindungan bas, ada yang membalut diri dengan plastik untuk berlindung daripada hujan beku dan yang lain membakar serpihan untuk memanaskan badan.

Mustafa Koyuncu bersama isteri dan lima anak mereka bermalam dalam kereta mereka.

“Kami tidak boleh pulang. Semua orang takut,” beritahu lelaki berusia 55 tahun itu kepada AFP.

Turkiye meletakkan angka kematian terkini sebanyak 3,419 di negara itu sahaja – menjadikan jumlah yang disahkan di Turkiye dan Syria kepada 5,021.

Timbul kebimbangan angka kematian akan meningkat, dengan pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira 20,000 mungkin telah meninggal dunia.

“Ada keluarga yang saya kenali tertimbus dalam runtuhan,” kata pelajar berusia 20 tahun, Omer El Cuneyd dari bandar Sanliurfa di Turkiye.

“Sehingga jam 11 pagi atau tengah hari, kawan saya masih lagi menjawab telefon.

“Tetapi kini dia tidak lagi menjawab. Dia ada di bawah sana,” katanya. – AFP

 

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Paras oksigen kurang punca jutaan ikan mati

CANBERRA, AUSTRALIA, 19 MAC – Berjuta-juta ikan telah mati dihanyutkan di tenggara Australia dalam kematian yang menurut pihak berkuasa dan saintis berpunca daripada paras...
- Advertisment -