Angka korban serangan Boko Haram meningkat

YAOUNDE, 12 JUN – Angka korban akibat serangan kumpulan pengganas Boko Haram di Darak, sebuah pekan di wilayah Utara Jauh di Cameroon yang bersempadan dengan Tasik Chad, meningkat kepada 37 orang, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan sumber tentera semalam.

“Kami tahu bahawa 21 anggota tentera dan 16 orang awam terbunuh dalam serangan itu. Kami telah menahan sejumlah 15 militan Boko Haram dan meneutralkan beberapa orang. Kami masih mencari beberapa anggota tentera dan orang awam yang hilang,” kata seorang pegawai tentera yang enggan dikenali kepada Xinhua.

Menurut pihak berkuasa tempatan, Boko Haram menyerang pekan itu pada malam Ahad dan bertempur dengan tentera Cameroon yang berlanjutan sehingga petang Isnin. – Bernama