SAO PAULO, 17 FEB – Angka kematian akibat tanah runtuh dan banjir di bandar Petropolis, Brazil di Rio de Janeiro meningkat kepada 104, termasuk enam kanak-kanak, lapor Xinhua, memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan kelmarin.
“Ia merupakan kejadian paling buruk sejak 1932, dengan curahan hujan 240 millimeter dalam tempoh masa lebih dua jam,” gabenor negeri Rio de Janeiro, Claudio Castro memberitahu pemberita selepas melawat kawasan bencana.
Hujan lebat pada Selasa melanda kawasan pergunungan, kira-kira 68 kilometer dari utara bandar Rio de Janeiro mencetuskan lebih 50 kejadian tanah runtuh. Setiausaha Pertahanan Awam bandar, Gil Kempers berkata dalam sidang media bahawa 21 orang berjaya diselamatkan dan jumlah orang hilang masih tidak diketahui. – Bernama