Angka maut meningkat 23 susulan tembakan lelaki mengamuk

OTTAWA, 22 APRIL – Angka kematian meningkat kepada 23 orang selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan, pada hujung minggu lalu di Wilayah Nova Scotia, Kanada, kata polis semalam selepas mayat ditemui di rumah dan kenderaan yang terbakar.

“Kami percaya ada 23 mangsa termasuk seorang gadis berusia 17 tahun. Semua mangsa lain adalah orang dewasa, lelaki dan wanita, ” kata Polis Diraja Kanada dalam satu kenyataan. “Kami menemui mayat di beberapa lokasi kebakaran,” kata polis dengan menyatakan bahawa sekurang-kurangnya lima rumah dan bangunan serta beberapa kenderaan dibakar oleh suspek.

Lelaki bersenjata itu, yang dikenal pasti polis sebagai Gabriel Wortman, 51, mengamuk pada Sabtu malam, di perkampungan pantai Portapique. Suspek mati 14 jam kemudian selepas ditembak oleh polis di sebuah stesen minyak, kira-kira 100 kilometer dari Halifax.

“Beberapa orang menjadi mangsa Wortman,” kata Pegawai Polis Diraja Kanada (RCMP). Antara mangsa dikenal pasti adalah seorang lelaki muda, dua wanita termasuk seorang wanita hamil manakala masing-masing seorang konstabel veteran RCMP, jururawat, guru sekolah rendah, pengawal penjara dan pesara anggota bomba. – AFP