Angka maut meningkat di Gaza

BANDAR GAZA, 15 Mei – Rakyat Palestin berhimpun hari untuk melakukan protes di sepanjang sempadan Gaza, sehari selepas tentera Israel membunuh berpuluh-puluh rakyat Palestin di sana susulan perpindahan kedutaan Amerika Syarikat (AS) ke Baitulmaqdis.

Semalam, rakyat Palestin menyambut Nakba atau ‘hari bencana’, bagi memperingati lebih 700,000 warganya yang terpaksa melarikan diri atau dihalau keluar dari wilayah itu sejak 1948, berikutan pembentukan Israel.

Perkara itu berlaku susulan tindakan AS yang memindahkan kedutaan mereka di Israel dari Tel Aviv ke bandar yang dipertikaikan, Baitulmaqdis dalam satu tindakan yang membangkitkan kemarahan rakyat Palestin dan dikecam secara meluas.

Sebahagian besar daripada 60 penduduk Gaza yang maut adalah akibat ditembak penembak hendap tentera Israel, kata jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza.

Mangsa turut membabitkan seorang anak damit yang maut akibat terhidu gas pemedih mata, selain lapan kanak-kanak berusia bawah 16 tahun, tambah kenyataan itu.

Pemuda Palestin hanya menggunakan lastik sebagai senjata semasa pertempuran dengan tentera Israel di sepanjang sempadan Gaza di timur Khan Yunis, pada 14 Mei 2018. – AFP

Sekurang-kurangnya 2,400 warga Palestin cedera dalam konflik berterusan antara negara itu dan Israel sejak perang meletus di Gaza pada 2014.

Sementara itu, pegawai kanan Hamas, Khalil Al-Hayya, berkata protes berkenaan akan diteruskan hari ini.

“Hamas dan kumpulan militan lain tidak akan berdiam diri atas segala jenayah yang dilakukan sepanjang tempoh penjajahannya,” katanya.

Di Tebing Barat, Presiden Palestin, Mahmud Abbas melancarkan bantahan besar-besaran hari ini, selepas menuduh Israel melakukan ‘pembunuhan’.

Kelmarin, puluhan ribu warga Palestin berkumpul berhampiran sempadan untuk membuat protes, manakala sebilangan kecil penduduk Palestin membaling batu menghampiri pagar dan cuba memasukinya, sementara penembak hendap tentera Israel bersedia di sebelahnya.

Jumlah kematian telah menyebabkan kutukan yang kuat daripada kumpulan hak asasi kemanusiaan dan kebimbangan memuncak dari pelbagai negara.

Terdahulu, Amerika Syarikat menghalang usaha mendesak Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk melaksanakan siasatan ke atas insiden keganasan di Palestin itu. – AFP